Pages

Saturday 8 February 2014

PENDIDIKAN BAHASA ARAB SEKOLAH RENDAH DI MALAYSIA

PENDIDIKAN BAHASA ARAB  SEKOLAH  RENDAH  DI MALAYSIA

Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia

Abstrak
Kertas ini membincangkan perkembangan pendidikan bahasa Arab di Malaysia. Bermula dari kemasukan bahasa Arab melalui dakwah Islam yang disebarkan oleh pedagang-pedagang Arab. Penerimaan masyarakat Melayu terhadap agama Islam telah menyuburkan lagi bahasa Arab di negara ini. Kini perkembangan bahasa Arab  mampu bersaing dalam arus perdana negara. Selaras dengan kemajuan kurikulum pendidikan negara, beberapa perubahan telah dilakukan ke atas sistem pembelajaran dan pengajaran bahasa  Arab sekolah rendah khususnya. Dengan pengenalan program rintis pada tahun 1998, bahasa arab komunikasi dan terkini bahasa Arab program j-Qaf. Kertas ini juga membincangkan pendekatan pengajaran bahasa Arab sebagai bahasa kedua dan juga menyentuh kaedah-kaedah pengajaran bahasa Arab yang diamalkan di sekolah rendah dan menengah.

Kata kunci: kurikulum bahasa Arab, program j-Qaf, kaedah pengajaran bahasa Arab , kurikulum pendidikan negara, sekolah rendah

PENDAHULUAN
Bahasa Arab pada masa kini sudah menjadi salah satu bahasa utama dunia setanding dengan bahasa-bahasa utama yang lain. Antara faktor yang menyumbang kepada penerimaan dunia terhadap penggunaanya adalah kerana penyebaran yang luas meliputi banyak negara dan jumlah penutur jatinya yang  begitu besar. Oleh itu, tidak hairanlah mengapa bahasa Arab kini dianggap sebagai bahasa utama dunia selain bahasa Inggeris , Perancis dan Sepanyol. Bahasa Arab juga merupakan bahasa perdagangan, perhubungan antarabangsa, politik dan ilmu pengetahuan bagi masyarakat dunia kini.
Rafa’il Nakhlah Al Yasu’iy (1986, 9 ) seorang orentalis Arab menjelaskan bahawa bahasa Arab merupakan satu bahasa yang berkembang dan digunakan bukan saja di benua Arab, bahkan ia terus berkembang ke benua Asia, Afrika dan Eropah semenjak 14 kurun yang lampau. Melihat kepada perkembangan ini, ternyata bahasa Arab memiliki kekayaan sinonim,  antonim, akronim dan gaya bahasa yang tidak boleh ditandingi oleh mana-mana bahasa yang lain. (Abdul Rauf Hassan 2002).
Semua pengkaji filologi dan linguistik Arab percaya bahawa bahasa Arab berasal dari bahasa Semit ( dalam bahasa Ibrani dinamakan SEM). Malah terdapat beberapa pandangan ahli linguistik Arab yang mengatakan kemungkinan bahasa terawal yang dituturkan oleh orang Samiyyah ini juga adalah bahasa Arab Kuno (al arabiah al qadimah) ( Ali Abdul Al Wahid T.th ,15) . Keluarga bahasa Semit disebut sebagai Afroasia. Bahasa Afroasia dituturkan oleh kira-kira 150 juta orang yang berbeza dari segi etnik dan ras. Pada hari ini, ia meliputi sebahagian besar Timur Tengah dan seluruh Afrika Utara, sebahagian besar Afrika Timur Laut dan suatu kawasan yang agak besar yang boleh secara kasar ditakrifkan sebagai barat laut Afrika Tengah.

KEDATANGAN BAHASA ARAB KE TANAH MELAYU
Bahasa Arab  di Malaysia bukanlah satu  bahasa yang asing. Faktor sejarah Tanah Melayu telah banyak membantu perkembangan bahasa arab di Malaysia. Kedatangan pedagang-pedagang Arab dari tanah Arab ke Tanah melayu bukan sekadar berdagang sahaja, malah turut membawa pengaruh Islam ke Tanah Melayu. Pada peringkat permulaan, bahasa Arab berkembang dalam hubungan antara pedagang Arab dengan masyarakat tempatan sebagai bahasa perhubungan atau komunikasi.  Maka secara tidak langsung, bahasa Arab turut mengalami perkembangan dan diperkenalkan di Tanah Melayu (Rosni Samah : 2009).
Menurut kajian an- Nadawi ( 1990) teori kedatangan bahasa Arab serentak dengan kemunculan Islam di Malaysia bukanlah suatu yang menghairankan kerana bahasa Arab merupakan kunci untuk memahami agama Islam. Oleh sebab bahasa arab ialah bahasa al Quran dan hadis yang menjadi sumber dan asas utama Islam, tarikh kedatangannya tidaklah sukar untuk ditentukan jika dikaitkan dengantarikh kedatangan Islam.
Terdapat banyak perbincangan oleh para sarjana tempatan mahupun sarjana barat teori kedatangan bahasa Arab ke Tanah Melayu. Menurut al Attas (1969) tarikh yang tercatat pada batu bersurat di Kuala Berang, Terengganu, iaitu 4 Rejab 702 hijrah yang bersamaan dengan 22 Februari 1303 Masihi menjadi bukti kedatangan Islam ke Tanah Melayu pada abad ke 14 atau lebih awal. Sarjana Barat seperti D.G.E Hall dan Harrison mengandaikan kedatangan tersebut adalah pada abad ke-15.
Agama Islam merupakan faktor utama yang meletuskan perkembangan bahasa Arab ke Malaysia sehingga kini. Kesungguhan masyarakat Melayu mendalami ilmu agama menyemarakkan lagi bahasa Arab ke seluruh pelusuk Malaysia. Dari pendidikan yang tidak formal sehingga kini bahasa Arab menjadi salah satu bahasa terpenting di negara kita dan telah dimasukkan dalam kurikulum pendidikan untuk sekolah rendah menengah sehingga ke institusi pendidikan tinggi.
Menurut Abdul Rahman (2009) dari segi perkembangan bahasa Arab faktor pendidikan banyak sekali dibantu oleh faktor pendidikan berbanding dangan faktor lain. Sejarah pendidikan awal bahasa Arab bermula sejak institusi Pondok diperkenalkan pada awal abad ke 19.

PENGAJARAN BAHASA ARAB DI MALAYSIA
Pada kurun ke 14 masihi  hingga kurun ke 15 masihi bermula pendidikan agama Islam di istana-istana apabila Sultan memeluk agama Islam, seperti Sultan Megat Iskandar Shah di Melaka. Begitu juga berlaku di tempat-tempat lain di Nusantara, seperti di Acheh, Pattani, Brunei, Mindanao dan Sulu. Menurut  Ismail Hamid (1991) menyatakan pada zaman perkembangan Islam di alam Islam sekitar kurun ke 14 dan seterusnya pengajaran bahasa Arab berkembang mengikut perkembangan pendidikan Islam di istana-istana.
Pengajaran bahasa Arab secara rasmi jelas dapat dilihat dalam masyarakat Melayu khususnya semasa kemunculan pusat-pusat pengajian Islam yang berbentuk pondok pada abad ke -18M (Abdullah Jusuh, 1989). Masyarakat Melayu pada ketika itu mempelajari ilmu-ilmu Islam dari alim ulama yang berpendidikan timur tengah dan menggunakan kitab-kitab yang berbahasa Arab sepenuhnya. Dalam sistem tradisional ini, aspek pembelajaran bahasa arab ditekankan kepada pelajar-pelajar untuk memahami kitab rujukan yang berbahasa Arab.
Pengajaran bahasa Arab di dalam institusi Pondok lebih memfokuskan kepada pengajaran tatabahasa dan morfologi. Kurikulum sesebuah institusi Pondok agak berbeza kerana ia bergantung kepada kemampuan guru dan pelajar-pelajarnya (Rosnani: 1996). Buku teks yang biasa digunakan untuk pengajaran tatabahasa dan morfologi ialah Matn ul ‘jrumiah, Matn ‘alfiyyah ibni Malik, Matn  ul izzi , Sharh ubni aqil, Shudhur udhahab (Abdul Rahim: 1993).
Penekanan kepada kefahaman tatabahasa ini, menyebabkan pelajar-pelajar di pondok mampu untuk membaca kitab-kitab berbahasa arab dan memahami  ilmu yang dipelajari. Di sini didapati kekuatan sistem kurikulum Pondok yang menggunakan kaedah nahu  terjemahan dan hafalan bagi pelajar-pelajar mereka.
Hasil daripada pembelajaran bahasa Arab di pusat-pusat pengajian Islam berbentuk pondok inilah, lahir ramai tokoh Islam yang mampu memahami kitab-kitab Islam yang yang tinggi dan menyambung pengajian mereka di negara-negara Arab khususnya di Mekah dan Madinah. Hasil daripada pencapaian pengajaran tersebut lahirlah tokoh-tokoh tuan guru yang hebat dan mampu mengasaskan institusi Pengajian Islam mereka sendiri. ( Rosni Samah 2009, 3). Institusi yang pertama di kesan ialah Pondok Tok Pulai Condong yang telah dibina di Kelantan (Abdul Rahman 2009).
Kelahiran sistem pondok ini telah menyumbang kepada kesinambungan pengajaran bahasa Arab di Malaysia. Dari sistem ini lahir sistem madrasah yang lebih menekankan kepada kemahiran bahasa Arab komunikasi yang terdapat dalam kurikulum kini. Kurikulum sekolah telah berkembang apabila berlaku tranformasi sistem pondok kepada sistem persekolahan moden. Keadaan ini wujud bagi menyahut cabaran dan keperluan semasa. Tokoh pengasasnya ramai yang berpengaruh dengan gagasan reformasi yang dibawa oleh tokoh-di negara Arab seperti Syeikh Muhammad Abduh.
Antara tokoh yang mengasaskan sistem madrasah ini ialah Tuan Haji Salleh Masri yang mengasaskan Madrasah Al Masriyyah, Seberang Perai ( Abdullah Jusuf 1989). Seorang anak didik Al-Masyhor, iaitu Syeikh Abdullah Maghribi telah mendirikan madrasah Idrisiah di Perak. Terdapat lepasan Al-Masyhor yang lain turut menubuhkan Madrasah Al-Diniyyah Kampung Lalang, Perak pada tahun 1934.
            Pembangunan sistem madrasah seiring dengan perubahan iklim  pendidikan di Malaysia selepas merdeka. Institusi madrasah telah dikenali dengan nama sekolah agama namun sebahagiannya masih mempraktiskan sistem lama. Kelahiran sekolah-sekolah agama ini telah diletakkan di bawah Majlis Agama Islam. Di samping menggunakan sukatan agama dari Negara  Mesir, sekolah agama ini juga menggunapakai sukatan pelajaran untuk pelajarnya menduduki peperiksaan awam SRP dan SPM. Menurut Zawawi Ismail ( 2001) selepas Malaysia mencapai kemerdekaaan pada tahun 1957, pada ketika itu banyak institusi pendidikan formal ditubuhkan.
Bahasa Arab telah diajar di sekolah-sekolah tersebut dan telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari segenap lapisan masyarakat.  Kurikulum bahasa Arab bagi sekolah-sekolah tersebut mula digubal secara rasminya mulai Januari tahun 1977 dengan pengambilan 11 buah sekolah menengah agama negeri dan rakyat sebagai percubaan. Bahasa Arab di sekolah –sekolah tersebut lebih menjurus kepada kemahiran berbahasa atau kemahiran berkomunikasi. Walaupun hanya satu subjek bahasa Arab ditawarkan tetapi ia merangkumi beberapa komponen kemahiran berbahasa di samping ilmu tatabahasa seperti nahu , saraf dan balaghah. ( Wizarah Tarbiyyah Malayziyyah, 2003)


BAHASA ARAB DI SEKOLAH RENDAH
Dalam arus perkembangan kehidupan moden hari ini, bahasa Arab berkembang sebagai bahasa komunikasi. Justeru, bahasa Arab di Malaysia dirasakan perlu dipelajari dari tahap awal hingga ke tahap yang tinggi. Bermula diperingkat sekolah rendah hinggalah ke tahap pengajian tinggi. Jika dilihat pada masa kini, bangsa lain turut meminati dan memperlajari bahasa Arab sebagai bahasa tambahan. Jelas di sini membuktikan bahawa bahasa Arab bukan sekadar untuk mendalami agama Islam sahaja malah ia juga merupakan bahasa komunikasi.
Diperingkat sekolah rendah, bahasa Arab telah diperkenalkan pada tahun 1997 menerusi matapelajaran bahasa arab komunikasi. Ia merupakan projek rintis yang melibatkan 97 buah sekolah kebangsaan di seluruh negara. Secara rasminya, perlaksaan bahasa Arab komunikasi di sekolah kebangsaan dibuat mulai tahun 1998. Sehingga 31 Disember 2002, terdapat 910 buah sekolah kebangsaan yang telah menawarkan bahasa arab komunikasi. Ia melibatkan 5,828 buah kelas dan 172,941 orang murid. (http;//.japim.edu.mu/bkpim.baksr-bm.htm).
 Menurut Jabatan Pendidikan Islam Moral, matlamat bahasa arab di sekolah rendah  iaitu menanam minat mempelajari bahasa Arab dengan  menguasai kemahiran berbahasa selain bahasa ibunda. Di samping itu  meningkatkan keupayaan murid untuk memahami agama Islam.
Pada 24 April 2004 YB Dato’ Hisyamuddin bin Tun Hussien Onn, Menteri Pelajaran pada masa itu telah melancarkan program j-QAF yang akan dijalankan di sekolah rendah. Program ini akan bermula pada tahun 2005. Penekanan dalam program ini ialah empat aspek yang utama untuk kecemerlangan pendidikan Islam iaitu, pengajaran jawi, al Quran, bahasa Arab dan Fardu Ain. Pelaksanaan dibuat berperingkat dan dijangka semua sekolah rendah akan melaksanakan program ini pada tahun 2010.ini merupakan salah satu usaha pemantapan kurikulum demi meningkatkan kecemerlangan sekolah rendah. Usaha ini menjadi fokus strategi pelaksanaan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (KPM 2006).
KURIKULUM BAHASA ARAB SEKOLAH RENDAH
Kesinambungan dari tahun 1997,pada tahun 2003, Kementerian Pendidikan Malaysia melalui surat pekeliling ikhtisas bil 8/2002, no rujukan : KP (BS) 8591/Jld. XIV/(9) mengarahkan supaya bahasa Arab komunikasi sekolah rendah dilaksanakan sepenuhnya. Namun begitu, pada peringkat awal sekolah yang telah melaksanakan bahasa Arab komunikasi pada tahun 1998 sahaja dibenarkan membuka kelas bahasa arab untuk murid-murid tahun satu. Sehingga tahun disember 2003 seramai 57542 orang murid tahun satu di 907 buah sekolah telah mempelajari bahasa Arab komunikasi.
            Dalam akta pendidikan 1990 dinyatakan dengan jelas bahawa bahasa arab adalah berstatus bahasa asing.  Seksyen 2. (d) di mana kemudahan bagi pengajaran-
iii. bahasa Arab, Jepun, Jerman atau Perancis atau mana-mana bahasa asing lain boleh diadakan jika munasabah dan praktik berbuat demikian;
            Sukatan pelajaran bahasa Arab komunikasi disediakan untuk enam tahun persekolahan dan masa yang diperuntukan adalah 60 minit dalam seminggu. Huraian sukatan merangkumi kemahiran berbahasa ( a)mendengar (b) membaca (c) menulis (d)bertutur.

Antara objektif mata pelajaran bahasa arab komunikasi di sekolah rendah ialah:
a.       Mendengar dan memahami sebutan huruf, perkataan, ayat serta petikan;
b.      Menyebut huruf dan perkataan dengan sebutan yang betul;
c.       Bertutur dan memahami bahasa arab dengan tema-tema yang tertentu;
d.      Membaca dengan betul dan memahami perkataan,ayat serta petikan;
e.       Menulis dengan betul dan memahami huruf, perkataan dan ayat dan petikan;
f.       Mengetahui asas tatabahasa Arab;
g.      Menggunakan bahasa Arab fushah yang mengandungi perbendaharaaan kata, struktur; tulisan, dan sebutan serata kaedah morfologi dan sintaksis semasa mendengar, bertutur , membaca dan menulis;
h.      Menghafal mahfuzat terpilih serta asas morfologi dan memperdengarkannya;
i.        Menghayati dan mengamalkan nilai murni, sikap positif, semangat patriotik dan kewarganegaraan.
(Bahagian Pendidikan Islam Moral 2007)

PEMBELAJARAN BAHASA ARAB SEBAGAI BAHASA ASING
Status pembelajaran bahasa Arab sebagai bahasa asing telah jelas dinyatakan di dalam Akta Pendidikan 1996. Di sekolah rendah, pembelajaran bahasa arab telah bermula sejak tahun 1997 sehingga kini. Selain dari bahasa ibunda, iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Arab ini menjadi bahasa kedua atau juga bahasa asing.
            Para pakar pendidikan bahasa Arab secara umumnya berpendapat bahawa pembelajaran bahasa Arab sebagai bahasa asing atau bahasa ketiga hendaklah bermula dengan pembelajaran kemahiran mendengar, bertutur, membaca, dan menulis sebelum pengetahuan tatabahasa. Antaranya ialah al Sini Mahmud Ismail , Nasif Mustafa dan Mukhtar al Tahir (2006). Kajian mengenai pembelajaran bahasa Arab sebagai bahasa asing telah berkembang pesatnya pada akhir abad ke-20 Masihi (Abdul Razak, 2004)  
            Hasil kajian Dulay , Burt dab Krashen (1982) mencadangkan bahawa arahan dalam isi kandungan mata pelajran lain di sekolah rendah perlu disepadukan ke dalam kurikulum bahasa asing untuk menjadikan pembelajaran lebih menyeluruh. Oleh itu integrasi dalam pengajaran dan pembelajaran adalah sangat penting, kerana ia dapat meningkatkan kemahiran murid dalam pembacaan, penulisan  dan pemikiran merentasi kurikulum, arahan bahasa dan juga termasuk kemahiran pemikiran kritikal seperti analisis, sintesis, dan penilaian dalam semua bahagian kurikulum.
Kedaan ini telah berlaku dalam kurikulum pendidikan kita apabila PPSMI di perkenalkan pada tahun 2003 yang mana bahasa Inggeris telah digunakan dalam matapelajaran sains dan matematik. Namun kelestarian program PPSMI ini bakal berakhir kerana beberapa unit operasionalnya kurang berkesan dan masalah pencapaian murid kurang memberansangkan.
Selain itu, bahasa Arab masih mengekalkan momentum tersendiri untuk kekal sebagai mata pelajaran pilihan di sekolah rendah sebagai bahasa ke dua. Memandangkan Islam sebagai agama rasmi negara, tentulah bahasa Arab ini mendapat tempat yang baik di kalangan masyarakat Islam umumnya.

KAEDAH PENGAJARAN BAHASA KEDUA
Melihat kepada keperluan penguasaan bahasa ke dua, banyak kaedah dan teori telah dihasilkan oleh para sarjana bahasa dalam bidang ini. Mereka mendatangkan kaedah yang berlainan mengikut aliran yang diperjuangkan. Kewujudan teori pembelajaran behaviorisme, kognitif dan interaksionalis mencetuskan pertembungan dan pertelingkahan dalam kaedah pengajaran bahasa.
            “Teori Pembelajaran Kod Kognitif” yang dipelopori oleh Chomsky telah memperkenalkan Teori Nahu Terjemahan (Transformational Grammar). Menurut teori TG setiap yang dilafazkan menurut rusmus-rumus sesuatu bahasa, mempunyai dua struktur,iaitu struktur permukaan dan struktur dalaman. Struktur permukaan ialah struktur ayat-ayat yang kita gemar dengar dan lihat, manakala struktur dalaman ialah struktur ayat pada peringkat yang abstrak si dalam pemikiran penutur sebelum ayat itu dilahirkan. Bahagian dalam bahasa berupa proses mental yang dapat mengeluarkan bahasa tanpa peransangan dari luar dan bahasa sebenarnya adalah hasil dari pemikiran. Itulah sebabnya dalam pendekatan ini, analisis dilakukan dan bukannya analogi. Dengan analisis para pelajar menggunakan fikiran mereka untuk memahami satu-satu hukum tatabahasa. Pengajaran dibuat secara deduktif, iaitu guru mengajar secara formal tentang satu-satu hukum tatabahasa (Kamarudin 1988 dan Hamizul 2008).
            Manakala “Teori Pembelajaran Behaviorisme Dengar Tutur” dipelopori oleh Bloomfield dan ahli psikologi yang mendasari teori ini ialah Skinner. Menurut teori ini, bahasa itu dianggap suatu aktiviti yang diperolehi melalui latihan dan pengulangan hingga menjadi satu tabiat , dan bahasa itu dalah sesuatu yang hidup dan dengan itu mestilah dipelajari dalam suasana semulajadinya iaitu bahasa lisan (Kamaruddin 1988). Teori anjuran Skinner ini, meletakkan kebolehan bahasa itu akan berlaku secara semulajadi sekiranya ransangan yang berkesan berlaku secara berulang-ulang. Ini kerana sifat semula jadi manusia dan dikurniakan kelengkapan yang sempurna untuk mempelajari bahasa.
            Oleh yang demikian, kaedah pengajaran atau pemerolehan bahasa asing sangat signifikan untuk dipraktiskan dalam pengajaran bahasa Arab sekolah rendah berdasarkan teori-teori yang telah di kaji.
   
KAEDAH PENGAJARAN BAHASA ARAB SEBAGAI BAHASA KEDUA
Pendekatan kaedah pengajaran bahasa arab di Malaysia telah berubah mengikut perubahan zaman, dan keperluan semasa. Objektif dan matlamat juga menjadi kayu pengukur kepada sesuatu pelaksanaan kaedah pengajaran. Secara khususnya, di sekolah rendah matlamat utama ialah kebolehan komunikasi di samping kemahiran membaca, menulis dan mendengar. Namun begitu, kaedah-kaedah yang bertepatan dengan tahap murid dan latarbelakang murid  menjadi keutamaan bagi pengajar bahasa Arab.  
 Maimun Aqsha Lubis (1997) dalam kajiannya mendapati bahawa tiada satu pendekatan yang sesuai digunakan untuk setiap pelajar dan untuk setiap keadaan. Beliau mendapati setiap pendekatan ada kelebihan dan kekurangan berbanding pendekatan lain. Antara dapatan beliau ialah (a) pendekatan tradisional lebih berkesan untuk memahami pembendaharaaan kata bagi pelajar peringkat permulaan, (b) pendekatan dengar dan tutur lebih berkesan untuk kemahiran mendengar dan bertuturbagi pelajar peringkat permulaaan dan pertengahan dan (c) pendekatan langsung lebih berkesan untuk kemahiran bertutur untuk pelajar peringkat tinggi.
Penyelidikan oleh Abdul Rahman Bin Haji Abu Bakar (1990) dilaksanakan adalah bertujuan untuk membandingkan keberkesanan dua kaedah pengajaran ke atas pencapaian pelajaran tatabahasa Arab pelajar-pelajar di peringkat tingkatan 4. Beliau telah memilih dua kaedah pengajaran iaitu kaedah deduktif dan kaedah induktif. Secara kesimpulannya, tidak terdapat perbezaan yang signifikan di antara kesan pengajaran kaedah induktif dengan kesan pengajaran kaedah deduktif dalam tatabahasa Arab. Walaupun wujud purata pencapaian kumpulan kaedah induktif lebih tinggi jika dibandingkan dengan purata pencapaian kumpulan deduktif. Dengan ini, penyelidik mengatakan bahawa tiada satu kaedah yang tertentu yang lebih sesuai untuk mengajar semua tajuk pelajaran tata bahasa Bahkan kaedah deduktif dan kaedah induktif adalah sama sesuai digunakan untuk mengajar pelajaran tata bahasa Arab

KAEDAH PENGAJARAN BAHASA ARAB KINI
Antara kaedah yang yang terdapat dalam pengajaan bahasa Arab ialah, kaedah Tradisional ( Terjemahan dan Hafalan), Kaedah Taqlidiyyah ( Nahu-Terjemahan) Kaedah Samiyyah Syafawiah( Dengar – Tutur) dan  Kaedah Eklektik Sistematik.

Kaedah Tradisional ( Terjemahan dan Hafalan)
Kaedah ini merupakan kaedah yang diwarisi secara tradisi. Guru yang ada sekarang walaupun mengikuti kursus perguruan tetapi mereka masih menggunakan kaedah tersebut dan kerap kali digunakan di sekolah agama kerajaan negeri (Mohammad Marwan dan Rosni bin Samah, 2007). Ini kerana mereka yang menjadi guru bahasa  kini mendapat pendidikan dari era 80an dan 90an yang lebih mementingkan tatabahasa  Arab dan hafalan mufrodat untuk menguasai bahasa. Menurut Rosni Samah ( 2009) gabungan antara terjemahan dengan hafalan inilah yang memberi kekuatan kepada sistem pengajian pondok dalam melahirkan pelajarnya yang berkemampuan membaca kitab-kitab turath. Meraka mempunyai kemahiran yang baik walaupun tidak pernah pergi ke negara-negara Arab. Terdapat juga kemahiran mereka dalam memahami turath ini mengatasi pelajar-pelajar yang kembali dari universiti  di tanah Arab.
            Menurut kaedah ini, guru akan membaca petikan  bahasa Arab dan menterjemahkan setiap kalimah  ke bahasa Melayu. Begitu juga diperingkat sekolah rendah, ayat yang dibacakan akan diterjemahkan oleh guru. Seterusnya guru akan memilih kosa kata yang baru dan mudah untuk dihafal oleh murid-murid. Proses yang berlaku secara berulang-ulang akan menguatkan lagi ingatan murid kepada kosa kata yang dibaca. Apabila murid memahami maksud kosa kata mereka akan berupaya menggunakannya dalam pertuturan atau penulisan.

Kaedah Taqlidiyyah ( Tradisional Nahu- Terjemahan)
Pengajaran dalan kaedah ini dimulakan dengan latihan kemahiran membaca , kemudian melibatkan semua kemahiran yang lain sepeti kemahiran bertutur , membaca dan menulis. Pengajaran nahu (tatabahasa) pula disampaikan secara deduktif iaitu dengan menerangkan definisi (takrif) satu-satu Qawaid dengan terperinci terlebih dahulu kemudian diteruskan dengan menerangkan contoh-contoh yang berkenaan dengannya. Takrif kaedah ini akan di suruh hafazkan oleh guru. Ketika mengajarkan teks bacaan samada bentuk perbualan ataupun rancangan diadakan terjemahan ke dalam bahasa ibunda( bahasa melayu) dan pengajaran melalui kaedah ini tidak menggunakan alat pendang dengar (audio-visual). Kaedah ini mementingkan kepada tatabahasa dalam mengajar teks bacaan.
Diperingkat sekolah rendah, tahap sukatan bagi nahw atau tatabahasa arab adalah yang paling rendah. Contohnya pengenalan isim, fe’el dan harf di peringkat awal dengan menyatakan tanda-tanda untuk mengenali isim, fe’el dan harf dalam tulisan. Seterusnya hingga ke tahap mengenal dhomir atau ganti nama atau pelaku bagi setiap fe’el.

Kaedah Samiyyat al Syafawiyyah ( Dengar -Tutur)
Pengajaran dimulakan dengan latihan kefahaman mendengar kemudian melibatkan semua kemahiran yang lain seperti kemahiran bertutur, kemahiran membaca dan kemahiran menulis. Pengajaran nahw (tatabahasa) disampaikan secara nahw praktik iaitu mengajarkan nahu secara tidak langsung atau memahirkan kemahiran-kemahiran bahasa dengan tidak mengupas takrif ( definisi) tatabahasanya satu persatu. Walau bagaimanapun setiap pengajaran bahasa dalam keempat-empat kemahiran diajarkan dengan praktikal tatabahasa yang betul. Dalam mengajarkan teks bacaan pula samada bentuk perbualan ataupun rancangan tidak diadakan terjemahan ke dalam bahasa ibunda (bahasa Melayu) , dan kaedah ini menggunakan alat pandang dengar (audio-visual).
            Kaedah ini, tidak melibatkan terjemahan unit-unit kosa kata satu persatu, tetapi guru menunjukkan maksud dengan mendatangkan imaginasi atau mempamerkan kepada murid. Contohya mendatangkan gambar haiwan, perlakuan dan sebagainya.    

Kaedah Elektik Sistematik
Kaedah ini ialah gabungan di antara kebaikan kaedah Taqlidyyah dan kebaikan kaedah Samiyyah al- Syafawiyyah. Ia dibuat berdasarkan hasil keputusan kajian peringkat sarjana pendidikan UKM( Maimun Aqsha 1991). Melalui kaedah ini, pengajaran dimulakan dengan gabungan antara kemahiran mendengar dengan kemahiran membaca. Ia juga melibatkan semua kemahiran yang lain seperti kemahiran bertutur, kemahiran membaca dan kemahiran menulis. Pengajaran nahw (tatabahasa) menerusi kaedah ini, disampaikan secara induktif. Iaitu dengan menampilkan ayat-ayat (jumlah) dengan bahasa arab kepada pelajar serta melatihkan ayat-tersebut dalam kemahiran bahasa seperti kemahiran bertutur, kemahiran membaca dan memahami.
Sementara ayat-ayat ini, adalah merupakan contoh-contoh dalam satu-satu pengkaedahan bahasa Arab, sehingga samapi kepada definisi takrif kaedah tersebut. Cara induktif ini berlawanan dengan cara deduktif pada kaedah Taqlidiyyah /Tradisional. Takrif kaedah ini tidak sampai disuruh hafazkan oleh guru, namun disuruh di fahamkan dengan baik dengan cara mengulang keterangannya beberapa kali sambil mengaitkannya semua dengan contoh yang diberikan. Dalam mengajarkan teks bacaan samada dalam bentuk perbualan ataupun petikan karangan, terjemahan ke dalam bahasa ibunda dibuat jika amatdiperlukan dan dalam setiap pengajaran menerusi kaedah ini digunakan alat pandang dengar (audio-visual). 
RUMUSAN
Kertas ini telah membincangkan perkembangan pendidikan bahasa Arab di Malaysia. Bermula dari kemasukan bahasa Arab melalui dakwah Islam yang disebarkan oleh pedagang. Bukti penemuan batu bersurat telah mengukuhkan lagi kedatanga bahasa Arab lebih awal ke Tanah Melayu.  Selepas merdeka sehingga kini pendidikan bahasa Arab di letakkan sebaris dengan pendidikan sosial lain. Akta pendidikan telah mewartakn bahasa Arab sebagai bahasa asing boleh diajarkan di sekolah sekiranya ada keperluan.  Ini menunjukkan bahawa bahasa Arab mampu bersaing dalam arus perdana negara. Selaras dengan kemajuan kurikulum pendidikan negara, beberapa perubahan telah dilakukan ke atas sistem pembelajaran dan pengajaran bahasa Arab sekolah rendah khususnya. Dengan pengenalan program rintis pada tahun 1998, bahasa arab komunikasi dan terkini bahasa program j-Qaf. Kertas ini juga telah membincangkan pendekatan pengajaran bahasa Arab sebagai bahasa kedua. Selain itu, perbincangan empat kaedah pengajaran bahasa Arab di peringkat sekolah rendah dan menengah. Dengan adanya perbincangan ini dapat menjadi panduan guru-guru yang mengajara bahasa Arab sekolah rendah di Malaysia dan para pembuat dasar negara.

PENUTUP
Perbincangan pada kertas ini memberikan gambaran jelas bahawa bahasa Arab merupakan antara bahasa yang terawal bertapak di bumi Melayu. Kehadiran bersama agama Islam dibawa oleh parra pedagang Arab dari bumi anbia’. Jasa dan bakti bahasa Arab tidak dapat disangkal lagi, dengannya kita mengenali Islam. Kerana ia juga kita mengenali kitabullh dan hadis nabawi. Oleh yang demikian usaha ke arah memartabatkan bahasa Arab sebagai bahasa kedua perlu digembelingkan. Pengenalan program rintis sehingga program bahasa Arab J-qaf menampakkan usaha keras pihak bertanggungjawab.
            Pihak universiti juga perlu meningkatkan usaha dengan melaksanakan lebih banyak kajian berkenaan bahasa Arab di Malaysia. Terutamanya konteks pengajaran dan pembelajaran di peringkat sekolah rendah. Hala tuju dan perspektus pendidikan bahasa Arab dari pelbagai peringkat haruslah jelas.  Dengan ini minat masyarakat untuk mendalami bahasa Arab akan bertambah. Masyarakat yang mampu menguasai bahasa Arab dengan baik, sudah pastinya dapat memahami Al Quran, hadis dan ilmu Islam dengan baik. Usaha ke arah menjadikan muslim yang benar-benar memahami Islam bukan hanya menjadi ikut ikutan.

















RUJUKAN

Abdul Rahman Abdullah . 2009.  Kompetensi Komunikatif dan Strategi Komunikatif Bahasa Arab di Kalangan Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama di Negeri Selangor. Tesis Dr. Fal, Fakulti Pendidikan , Universiti Malaya.
Abdullah Jusuh . 1989 . Pengenalan Tamadun Islam  di Malaysia. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka
Al- Nadawi, Abdul Razak wan Ahmad. 1990. Al-Lughah Al Arabiah fi Maliziya Ba’da Istiqlal, Tesis Sarjana tidak diterbitkan : Universiti Iskandariah.
Abdul Rahim  Haji Ismail . 1993 . The Teaching of Arabic in the Faculty of  Islamic in The National University of Malaysia, Tesis Doktor Falasafah yang tidak diterbitkan : University of Salford.
Abdul Razak Abu Chik . 2004. Pendekatan Pengajaran Berasaska Kata Serapan Bahasa Melayu Untuk Meningkatkan Pemahaman Perbendaharaan Kata Bahasa Arab. Tesis Doktor Falsafah yang tidak diterbitkan : Universiti Kebangsaan Malaysia
Bahagian Pendidikan Islam . 2010 . Analisis Pencapaian Bahasa Arab Komunikasi bagi Kohot 2005. Kementerian Pelajaran Malaysia.
Bahagian Pendidikan Islam . 2010. Analisis Peperiksaan PMR 2010. Kementerian Pelajaran Malaysia.  
Benard Comrie (ed.) 1999.  Ensaiklopedia bahasa Utama Dunia . Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan  Pustaka.
Chomsky Naom . 1965 . Aspect of the Theory  of Syntax. Mass : M.I.T
Dulay H., Burt M., Krashen  S. 1982 . Language Tow . New York: Oxford University Press.

Ismail Hamid. 1991. Masyarakat dan Budaya Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kamaruddin Haji Husin . 1998. Pedagogi Bahasa.  Siri Pendidikan Perguruan. Kuala Lumpur : Kumpulan Budiman Sdn Bhd. 
Kementerian Pelajaran Malaysia (BPK). 2010. Pelaporan j-QAF Tahun 2010. Bahan tidak diterbitkan. Bahagian Pembangunan Kurikulum.
Kamus Dewan . 2005.  Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka .  
Kementerian pelajaran Malaysia . 2007. Panduan Pelaksanaan  Kurikulum Bahasa Arab di Sekolah Kebangsaan.
Kementerian Pelajaran Malaysia . 2006 . Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 ed. Pelancaran.
Krashen S. 1981 . Second Language Acquisition and Second Language Learning. Oxford : Pergamon Press.
Maimun Aqsha Lubis. 1997. Satu Perbandingan Kesan Tiga Kaedah Pengajaran Bahasa Arab Terhadap Pencapaian Kemahiran Bahasa di Pusat Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa, Tesis Doktor Falsafah .  Universiti Kebangsaan Malaysia. 
Maimun Aqsa Lubis. 2009. Turuq Tadris Lughatil al-Arabiah Wa I’dadi Durusiha Fi Maliziya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Mohamed Abd. Rahman . 1994. Pengajaran Bahasa Arab Pelajar Melayu: Satu Rujukan Perbandingan Antara Yayasan Pengajian Tinggi  Islam  Kelantan Dengan Akademi Islam Universiti Malaya. Tesis Sarjana tidak diterbitkan : Universiti Malaya.
Rafa’il Nakhlah Al Yasuiy. 1896. Ghara’ib  al-Lughah  al- Arabiyyah. Beirut : Dar al-     Masyriq. 
Rosin Samah. 2009. Isu Pembelajaran Bahasa Arab di Malaysia.  Negeri Sembilan : Universiti Sains Islam Malaysia.
Rosnani . 1996 . Education Dualism in Malaysia : Implication of Theory and Practice. Kuala Lumpur: Oxford University Press.
Syed Muhammad Naquib al- Attas. 1972. Islam  Dalam Sejarah  dan  Kebudayaan  Melayu. Kuala Lumpur:  Penerbit  Universiti Kebangsaan Malaysia.
Zamri Mahamod, Mohamad Amin Embi & Nik Mohd Rahimi Nik Yusoff.  2010. Strategi pembelajaran bahasa Melayu dan Inggeris pelajar cemerlang. Bandar Baru Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.




No comments:

Post a Comment