Pages

Saturday 8 February 2014


KEBERKESANAN KAEDAH PENGAJARAN BAHASA ARAB TERHADAP MURID TAHUN 5 DI SEKOLAH RENDAH
  
BAB 1
PENGENALAN
1.1.1        Pendahuluan
Bahasa Arab pada masa kini sudah menjadi salah satu bahasa utama dunia setanding dengan bahasa-bahasa utama yang lain. Antara faktor yang menyumbang kepada penerimaan dunia terhadap penggunaanya adalah kerana penyebaran yang luas meliputi banyak negara dan jumlah penutur jatinya yang  begitu besar. Oleh itu, tidak hairanlah mengapa bahasa Arab kini dianggap sebagai bahasa utama dunia selain bahasa Inggeris , Perancis dan Sepanyol. Bahasa Arab juga merupakan bahasa perdagangan, perhubungan antarabangsa, politik dan ilmu pengetahuan bagi masyarakat dunia kini.
Rafa’il Nakhlah Al Yasu’iy (1986, 9 ) seorang orentalis Arab menjelaskan bahawa bahasa Arab merupakan satu bahasa yang berkembang dan digunakan bukan saja di benua Arab, bahkan ia terus berkembang ke benua Asia, Afrika dan Eropah semenjak 14 kurun yang lampau. Melihat kepada perkembangan ini,ternyata bahasa Arab memiliki kekayaan sinonim,  antonim, akronim dan gaya bahasa yang tidak boleh ditandingi oleh mana-mana bahasa yang lain. (Abdul Rauf Hassan 2002).
Semua pengkaji filologi dan linguistik Arab percaya bahawa bahasa Arab berasal dari bahasa Semit ( dalam bahasa Ibrani dinamakan SEM). Malah terdapat beberapa pandangan ahli linguistik Arab yang mengatakan kemungkinan bahasa terawal yang dituturkan oleh orang Samiyyah ini juga adalah bahasa Arab Kuno (al arabiah al qadimah) ( Ali Abdul Al Wahid T.th ,15) . Keluarga bahasa Semit disebut sebagai Afroasia. Bahasa Afroasia dituturkan oleh kira-kira 150 juta orang yang berbeza dari segi etnik dan ras. Pada hari ini, ia meliputi sebahagian besar Timur Tengah dan seluruh Afrika Utara, sebahagian besar Afrika Timur Laut dan suatu kawasan yang agak besar yang boleh secara kasar ditakrifkan sebagai barat laut Afrika Tengah. Cabang-cabang utama bagi bahasa Afroasia adalah seperti bahasa Mesir, bahasa Semit, bahasa Kush, bahasa Omo, Berber dan bahasa Chad ( Bernard Comrie 1998, 3).

Oleh yang demikian, amat wajarlah kepada umat Islam mempelajari bahasa Arab dan menguasainya bukan sahaja kerana ia adalah bahasa al-Quran dan al-hadith tetapi kerana ia juga adalah bahasa pertuturan  seharian dan diterima oleh segenap lapisan masyarakat di dunia.
1.1.2     Sejarah Kedatangan Bahasa Arab di Malaysia
Bahasa arab  di Malaysia bukanlah satu  bahasa yang asing. Faktor sejarah Tanah Melayu telah banyak membantu perkembangan bahasa arab di Malaysia. Kedatangan pedagang-pedagang Arab dari tanah Arab ke Tanah melayu bukan sekadar berdagang sahaja, malah turut membawa pengaruh Islam ke Tanah Melayu. Pada peringkat permulaan, bahasa Arab berkembang dalam hubungan antara pedagang Arab dengan masyarakat tempatan sebagai bahasa perhubungan atau komunikasi.  Maka secara tidak langsung, bahasa Arab turut mengalami perkembangan dan diperkenalkan di Tanah Melayu (Rosni Samah : 2009).
Menurut kajian an- Nadawi( 1990) teori kedatangan bahasa Arab serentak dengan kemunculan Islam di Malaysia bukanlah suatu yang mnghairankan kerana bahasa Arab merupakan kunci untuk memahami agama Islam. Oleh sebab bahasa arab ialah bahasa al Quran dan hadis yang menjadi sumber dan asas utama Islam, tarikh kedatangannya tidaklah sukar untuk ditentukan jika dikaitkan dengantarikh kedatangan Islam.
Terdapat banyak perbincangan oleh para sarjana tempatan mahupun sarjana barat teori kedatangan bahasa Arab ke Tanah Melayu. Menurut al Attas (1969) tarikh yang tercatat pada batu bersurat di Kuala Berang, Terengganu, iaitu 4 Rejab 702 hijrah yang bersamaan dengan 22 Februari 1303 Masihi menjadi bukti kedatangan Islam ke Tanah Melayu pada abad ke 14 atau lebih awal. Sarjana Barat seperti D.G.E Hall dan Harrison mengandaikan kedatangan tersebut adalah pada abad ke-15.
Agama Islam merupakan faktor utama yang meletuskan perkembangan bahasa Arab ke Malaysia sehingga kini. Kesungguhan masyarakat Melayu mendalami ilmu agama menyemarakkan lagi bahasa Arab ke seluruh pelusuk Malaysia. Dari pendidikan yang tidak formal sehingga kini bahasa Arab menjadi salah satu bahasa terpenting di negara kita dan telah dimasukkan dalam kurikulum pendidikan untuk sekolah rendah menengah sehingga ke institusi pendidikan tinggi.
Menurut Abdul Rahman (2009) dari segi perkembangan bahasa Arab faktor pendidikan banyak sekali dibantu oleh faktor pendidikan berbanding dangan faktor lain. Sejarah pendidikan awal bahasa Arab bermula sejak institusi Pondok diperkenalkan pada awal abad ke 19.
1.1.3    Latar Belakang Pengajaran Bahasa Arab di Malaysia
Pada kurun ke 14 masihi  hingga kurun ke 15 masihi bermula pendidikan agama Islam di istana-istana apabila Sultan memeluk agama Islam, seperti Sultan Megat Iskandar Shah di Melaka. Begitu juga berlaku di tempat-tempat lain di Nusantara, seperti di Acheh, Pattani, Brunei, Mindanao dan Sulu. Menurut  Ismail Hamid (1991) menyatakan pada zaman perkembangan Islam di alam Islam sekitar kurun ke 14 dan seterusnya pengajaran bahasa Arab berkembang mengikut perkembangan pendidikan Islam di istana-istana.
Pengajaran bahasa arab secara rasmi jelas dapat dilihat dalam masyarakat Melayu khususnya semasa kemunculan pusat-pusat pengajian Islam yang berbentuk pondok pada abad ke -18M (Abdullah Jusuh, 1989). Masyarakat Melayu pada ketika itu mempelajari ilmu-ilmu Islam dari alim ulama yang berpendidikan timur tengah dan menggunakan kitab-kitab yang berbahasa Arab sepenuhnya. Dalam sistem tradisional ini, aspek pembelajaran bahasa arab ditekankan kepada pelajar-pelajar untuk memahami kitab rujukan yang berbahasa Arab.
Pengajaran bahasa Arab di dalam institusi Pondok lebih memfokuskan kepada pengajaran tatabahasa dan morfologi. Kurikulum sesebuah institusi Pondok agak berbeza kerana ia bergantung kepada kemampuan guru dan pelajar-pelajarnya (Rosnani: 1996). Buku teks yang biasa digunakan untuk pengajaran tatabahasa dan morfologi ialah Matn ul ‘jrumiah, Matn ‘alfiyyah ibni Malik, Matn  ul izzi , Sharh ubni aqil, Shudhur udhahab (Abdul Rahim: 1993).
Penekanan kepada kefahaman tatabahasa ini, menyebabkan pelajar-pelajar di pondok mampu untuk membaca kitab-kitab berbahasa arab dan memahami  ilmu yang dipelajari. Di sini didapati kekuatan sistem kurikulum Pondok yang menggunakan kaedah nahu  terjemahan dan hafalan bagi pelajar-pelajar mereka.
Hasil daripada pembelajaran bahasa Arab di pusat-pusat pengajian Islam berbentuk pondok inilah, lahir ramai tokoh Islam yang mampu memahami kitab-kitab Islam yang yang tinggi dan menyambung pengajian mereka di negara-negara Arab khususnya di Mekah dan Madinah. Hasil daripada pencapaian pengajaran tersebut lahirlah tokoh-tokoh tuan guru yang hebat dan mampu mengasaskan institusi Pengajian Islam mereka sendiri. ( Rosni Samah 2009, 3). Institusi yang pertama di kesan ialah Pondok Tok Pulai Condong yang telah dibina di Kelantan (Abdul Rahman 2009).
Kelahiran sistem pondok ini telah menyumbang kepada kesinambungan pengajaran bahasa Arab di Malaysia dan dari sistem ini lahir sistem madrasah yang lebih menekankan kepada kemahiran bahasa Arab komunikasi yang kita ada sekarang ini.
Sistem persekolahan ini telah berkembang pesat dengan peralihan sistem-sistem pondok ke sistem sekolah bagi menyahut cabaran dan keperluan semasa. Tokoh pengasasnya ramai yang berpengaruh dengan gagasan reformasi yang dibawa oleh tokoh-di negara Arab seperti Syeikh Muhammad Abduh. Antara tokoh yang mengasaskan sistem madrasah ini ialah Tuan Haji Salleh Masri yang mengasaskan Madrasah Al Masriyyah, Seberang Perai ( Abdullah Jusuf 1989). Seorang anak didik Al-Masyhor, iaitu Syeikh Abdullah Maghribi telah mendirikan madrasah Idrisiah di Perak. Terdapat lepasan Al-Masyhor yang lain turut menubuhkan Madrasah Al-Diniyyah Kampung Lalang, Perak pada tahun 1934.
            Pembangunan sistem madrasah seiring dengan perubahan iklim  pendidikan di Malaysia selepas merdeka. Institusi madrasah telah dikenali dengan nama sekolah agama namun sebahagiannya masih mempraktiskan sistem lama. Kelahiran sekolah-sekolah agama ini telah diletakkan di bawah Majlis Agama Islam. Di samping menggunakan sukatan agama dari Negara  Mesir, sekolah agama ini juga menggunapakai sukatan pelajaran untuk pelajarnya menduduki peperiksaan awam SRP dan SPM. Menurut Zawawi Ismail ( 2001) selepas Malaysia mencapai kemerdekaaan pada tahun 1957, pada ketika itu banyak institusi pendidikan formal ditubuhkan. Bahasa Arab telah diajar di sekolah-sekolah tersebut dan telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari segenap lapisan masyarakat.
Kurikulum bahasa Arab bagi sekolah-sekolah tersebut mula digubal secara rasminya mulai Januari tahun 1977 dengan pengambilan 11 buah sekolah menengah agama negeri dan rakyat sebagai percubaan. Bahasa Arab di sekolah –sekolah tersebut lebih menjurus kepada kemahiran berbahasa atau kemahiran berkomunikasi. Walaupun hanya satu subjek bahasa Arab ditawarkan tetapi ia merangkumi beberapa komponen kemahiran berbahasa di samping ilmu tatabahasa seperti nahu , saraf dan balaghah. ( Wizarah Tarbiyyah Malayziyyah, 2003)
1.1.4    Perkembangan Bahasa Arab di Sekolah Rendah   
Dalam arus perkembangan kehidupan moden hari ini, bahasa Arab berkembang sebagai bahasa komunikasi. Justeru, bahasa Arab di Malaysia dirasakan perlu dipelajari dari tahap awal hingga ke tahap yang tinggi. Bermula diperingkat sekolah rendah hinggalah ke tahap pengajian tinggi. Jika dilihat pada masa kini, bangsa lain turut meminati dan memperlajari bahasa Arab sebagai bahasa tambahan. Jelas di sini membuktikan bahawa bahasa Arab bukan sekadar untuk mendalami agama Islam sahaja malah ia juga merupakan bahasa komunikasi.
Diperingkat sekolah rendah, bahasa Arab telah diperkenalkan pada tahun 1997 menerusi matapelajaran bahasa arab komunikasi. Ia merupakan projek rintis yang melibatkan 97 buah sekolah kebangsaan di seluruh negara. Secara rasminya, perlaksaan bahasa Arab komunikasi di sekolah kebangsaan dibuat mulai tahun 1998. Sehingga 31 Disember 2002, terdapat 910 buah sekolah kebangsaan yang telah menawarkan bahasa arab komunikasi melibatkan 5,828 buah kelas dan 172,941 orang murid (http;//.japim.edu.mu/bkpim.baksr-bm.htm). Menurut Jabatan Pendidikan Islam Moral, matlamat bahasa arab disekolah rendah  iaitu menanam minat mempelajari bahasa Arab bagi menguasai kemahiran berbahasa di samping membolehkan murid berkomunikasi dengan mudah.
Pada 24 April 2004 YB Dato’ Hisyamuddin bin Tun Hussien Onn, Menteri Pelajaran pada masa itu telah melancarkan program j-QAF yang akan dijalankan di sekolah rendah. Program ini akan bermula pada tahun 2005. Penekanan dalam program ini ialah empat aspek yang utama untuk kecemerlangan pendidikan Islam iaitu, pengajaran jawi, al Quran, bahasa Arab dan Fardu Ain. Pelaksanaan dibuat berperingkat dan dijangka semua sekolah rendah akan melaksanakan program ini pada tahun 2010 sebagai salah satu usaha pemantapan kurikulum demi meningkatkan kecemerlangan sekolah rendah yang merupakan fokus strategi pelaksanaan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (KPM 2006).
Sehingga kini program bahasa Arab Komunikasi  j-QAF telah berlangsung selama 6 tahun hampir keseluruhan sekolah kebangsaan di Malaysia.   
1.2       Permasalahan Kajian

 Pengajaran dan pembelajaran bahasa yang formal  seharusnya bermatlamat  menguasai bahasa itu sepenuhnya dengan menguasai kemahiran-kemahiran asas bahasa iaitu, mendengar, membaca,menulis dan bertutur. Kesinambungan asas-asas ini akan membentuk kefahaman berbahasa yang jitu. Namun begitu menurut menurut Chomsky (1965) kompentensi bahasa adalah pengetahuan seseorang tentang rumusan linguistik yang bercorak asbstrak tentang sesuatu bahasa itu dalam perlakuan bahasanya. Prestasi bahasa yang ditunjukkan oleh seseorang pengguna bahasa itu akan menggambarkan pengetahuannya tentang rumus-rumus bahasa tersebut. Konsep prestasi dapat dilihat dari sudut perlakuan dan pertuturan.
             Terdapat banyak kajian penyelidikan tentang kaedah pengajaran bahasa Arab di peringkat menengah dan institusi pengajian tinggi, namun penyelidikan kaedah ini di peringkat sekolah rendah masih amat sukar didapati. Beberapa kajian diperingkat institusi mendapati kelemahan guru mengaplikasikan kaedah yang betul antara faktor-faktor kepada kelemahan pencapaian pelajar disamping minat, persekitaran, bahan pengajaran yang sesuai.
            Kajian Mohamed Abd. Rahman (1994) mendapati beberapa masalah dalam pelaksanaan pengajaran bahasa arab di Akademi Islam Universiti Malaya (AIUM). Di antaranya pendekatan kaedah pengajaran yang digunakan dalam pengajaran kurang berkesan di mana guru hanya menggunakan teknik kuliah dan tutorial. Penggunaan bahan bantu mengajar yang kurang semasa proses pengajaran dan masalah sukatan pelajaran yang berulang serta bertindih tajuk menimbulkan perasaan bosan dan jemu di kalangan pelajar untuk mengikuti pengajaran bahasa arab dengan baik. Ini telah menjejaskan keupayaan penguasaan mereka dalam bahasa Arab.  
Pengkaji berpendapat, perlunya ada banyak kajian dalam bidang ini, memandangkan pelaksanaan program Bahasa Arab Komunikasi di sekolah rendah telah bermula sejak tahun 1997 dan program j-QAF juga telah berlangsung selama 6 tahun bermula pada tahun 2005.
Analisis pencapaian Bahasa Arab Komunikasi bagi  kohot 2005 yang dikeluarkan oleh  Unit j-QAF, Sektor Pendidikan Islam Bahagian Pembangunan Kurikulum Kementerian Pelajaran Malaysia 2010:
  
            Selain itu, analisis peperiksaan PMR 2010 untuk matapelajaran bahasa Arab bagi SMKA seluruh Malaysia menunjukkan kelemahan pelajar dalam matapelajaran bahasa Arab di peringkat menengah, jadual seperti di bawah: ( sumber BPI 2010)





Calon yang memperolehi gred D seramai 1258 orang dan calon yang memperolehi gred E seramai 647 orang. Jumlah gagal ini adalah tertinggi berbanding matapelajaran yang lain.
Justeru itu,pengkaji berpendapat perlunya ada kajian yang lebih mendalam berkenaan Bahasa Arab Komunikasi sekolah rendah ini, memandangkan data-data yang diperolehi menunjukkan ketidak seimbangan pencapaian murid di peringkat rendah dan menengah.
Dalam kajian ini permasalahan yang akan diketengahkan adalah sejauhmanakah kaedah  pengajaran yang diamalkan oleh tenaga pengajar bahasa Arab di sekolah rendah. Seperti kaedah terjemahan dan hafalan (tradisional) ,kaedah mendengar dan menyebut( samiyyat syafawiyyah),kaedah elektik sistematik dan kaedah taqlidiyyah (nahu-terjemahan) mampu memberi impak yang berkesan kepada murid atau pencapaian dalam menguasai bahasa Arab.

1.3                Tujuan Kajian

Tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk melihat sejauhmanakah keberkesanan kaedah pengajaran guru bahasa Arab terhadap pembelajaran bahasa Arab. Kaedah pengajaran yang dilihat dalam kajian ini adalah kaedah terjemahan, hafalan ,kaedah Nahu terjemahan (kaedah taqlidiyyah) mendengar dan menyebut (kaedah Samiyyat Syafawiyyah ),kaedah eklektik sistematik. Kaedah pengajaran ini dikaji mengikut kesesuaian tahap kemahiran bahasa Arab murid. Ini bertujuan untuk meninjau apakah kaedah pengajaran bahasa Arab yang cepat dan sesuai digunakan bagi meningkatkan minat serta pencapaian murid.  Kajian lepas telah membuktikan bahawa sikap dan minat murid boleh mempengaruhi pencapaian akademik murid dan akhlak mereka (Suradi Salim: 1978). Kajian ini juga di harap dapat memberi sedikit sebanyak gambaran tentang pencapaian murid melalui kaedah yang betul dan menjadi pedoman buat guru-guru bahasa Arab.

1.4               Objektif  Kajian

a.       Mengenalpasti kaedah pengajaran yang dijalankan oleh guru dan hubungan dengan pencapaian murid.
b.      Mengenalpasti kaedah yang bersesuaian mengikut kemahiran.
c.       Mengenalpasti kekuatan dan kelemahan kaedah yang diamalkan dalam pengajaran bahasa Arab.
d.      Meninjau halangan-halangan keberkesanan kaedah dalam pengajaran bahasa Arab.

1.5               Persoalan Kajian

1.      Apakah kaedah yang paling popular dikalangan guru bahasa Arab di sekolah kebangsaan?
2.      Apakah persepsi murid terhadap kaedah yang digunakan oleh guru-guru yang mengajar bahasa Arab?
3.      Bagaimanakah tahap pencapaian pelajar dalm empat kemahiran bahasa arab?
4.      Apakah halangan dan kekurangan untuk mempraktikkan kaedah-kaedah dalam pengajaran bahasa Arab?
5.      Bagaimanakah sikap dan minat murid terhadap pembelajaran bahasa Arab di sekolah Kebangsaan?

1.6               Hipotesis Kajian

a.       Tiada hubungan antara kaedah yang diamalkan guru dengan pencapaian murid..
b.      Tidak terdapat kaedah yang sesuai untuk pengajaran bahasa Arab tahap sekolah kebangsaan.

1.7               Kerangka Konseptual







                           








1.8             Batasan Kajian

a.        Kajian ini dijalankan ke atas guru dan murid yang dipilih secara rawak di tiga buah sekolah dalam daerah Petaling Perdana. Kajian ini dibuat ke atas guru yang mengajar bahasa Arab dan murid yang terlibat dalam pembelajaran bahasa Arab sahaja.
b.      Sampel dipilih secara bertujuan. Seramai 10 orang guru yang mengajar bahasa Arab dan 50 orang murid tahun 5 yang terlibat pembelajaran bahasa Arab.
c.       Kajian ini akan melihat sejauhmanakah kemahiran pengajaran guru mampu meningkatkan prestasi pencapaian murid dalam pembelajaran bahasa Arab ini. Pengkaji juga akan melihat aspek-aspek kebolehan dan kelemahan murid dalam penguasaan bahasa Arab.

1.9               Kepentingan Kajian

Kajian seperti ini dianggap penting kerana dapatan hasil kajian ini nanti dijangka dapat membantu guru membuat refleksi tentang pengajarannya serta memperbaiki kaedah dan teknik pengajaran yang bersesuai mengikut tahap kesedian murid. Selain itu, kajian ini penting untuk memberikan maklumat yang berguna kepada guru bagi merancang aktiviti pengajaran dan menyediakan bahan pengajaran berdasarkan jenis kelemahan murid  dalam pembelajaran bahasa Arab. Selain itu, dapatan kajian ini akan dapat menilai adakah bahan pengajaran atau sukatan pelajaran bahasa Arab tahun 5 ini mencapai objektifnya atau sebaliknya.  
1.10      Definsi Operasional
Dalam kajian ini, berapa istilah tertentu akan digunakan bagi memenuhi kehendak dan maksud kajian. Antara istilah-istilah tersebut ialah:
a.       Keberkesanan – bermaksud satu keputusan yang menunjukkan sesuatu tindakan dengan adanya perubahan ( Kamus Dewan: 2005). Keberkesanan yang dimaksudkan dalam kajian ini ialah perubahan pada pengetahuan, tingkah laku atau sikap guru berdasarkan matlamat dan objektif yang telah digariskan melalui pengajaran bahasa Arab.
b.      Pengajaran  bermaksud sesuatu tugasan dan aktiviti yang diusahakan bersama oleh guru dan muridnya. Pengajaran ini adalah dirancangkan guru secara sisitematik dan teliti untuk melaksanakannya dengan kaedah dan teknik mengajar yang sesuai, membimbing, menggalak dan memotivasikan murid supaya mengambil inisiatif untuk belajar, demi memperolehi ilmu pengetahuan dan menguasai kemahiran yang diperlukan
c.       Bahasa Arab Komunikasi- adalah merupakan mata pelajaran bahasa Arab Komunikasi yang diperluaskan kepada semua murid beragama Islam. Mata pelajaran ini adalah sebahagian daripada mata pelajaran yang dilaksanakan dalam program j-QAF dan setaraf dengan bahasa-bahasa tambahan yang lain di sekolah rendah.
BAB 2
TINJAUAN LITERATUR
2.1       Pendahuluan
Bab ini akan membincangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan permasalahan kajian, pengajaran bahasa Arab untuk kanak-kanak, kurikulum BAK  sekolah rendah serta matlamat pengajaran. Di samping itu tinjauan literatur juga akan mengupas kaedah pengajaran bahasa ke dua, pengajaran bahasa Arab sebagai bahasa ke dua serta kaedah-kaedah yang di amalkan dalam pengajaran bahasa Arab seperti kaedah Tradisional, ( Hafalan Terjemahan) , Kaedah Taqlidiah (Tradisional Nahu Terjemahan), Kaedah Samiyyat al Syafawiyyah( Dengar-Tutur) dan kaedah Eklektik Sistematik. Selain itu bab ini juga akan mendatangkan teori yang penting mendasari kajian ini dan mengenengahkan kajian-kajian lepas berkaitan tajuk kajian.
2.2       Kurikulum Bahasa Arab Komunikasi Sekolah Rendah
Kesinambungan dari tahun 1997,pada tahun 2003, Kementerian Pendidikan Malaysia melalui surat pekeliling ikhtisas bil 8/2002, no rujukan : KP (BS) 8591/Jld. XIV/(9) mengarahkan supaya bahasa Arab komunikasi sekolah rendah dilaksanakan sepenuhnya. Namun begitu, pada peringkat awal sekolah yang telah melaksanakan bahasa Arab komunikasi pada tahun 1998 sahaja dibenarkan membuka kelas bahasa arab untuk murid-murid tahun satu. Sehingga tahun disember 2003 seramai 57542 orang murid tahun satu di 907 buah sekolah telah mempelajari bahasa Arab komunikasi.
            Dalam akta pendidikan 1990 dinyatakan dengan jelas bahawa bahasa arab adalah berstatus bahasa asing.  Seksyen 2. (d) di mana kemudahan bagi pengajaran-
iii. bahasa arab jepun jerman atau perancis atau mana-mana bahasa asing lain boleh diadakan jika munasabah dan praktik berbuat demikian;
            Sukatan pelajaran bahasa Arab komunikasi disediakan untuk enam tahun persekolahan dan masa yang diperuntukan adalah 60 minit dalam seminggu. Huraian sukatan merangkumi kemahiran berbahasa ( a)mendengar (b) membaca (c) menulis (d)bertutur.

Antara objektif mata pelajaran bahasa arab komunikasi di sekolah rendah ialah:
a.       Mendengar dan memahami sebutan huruf, perkataan, ayat serta petikan;
b.      Menyebut huruf dan perkataan dengan sebutan yang betul;
c.       Bertutur dan memahami bahasa arab dengan tema-tema yang tertentu;
d.      Membaca dengan betul dan memahami perkataan,ayat serta petikan;
e.       Menulis dengan betul dan memahami huruf, perkataan dan ayat dan petikan;
f.       Mengetahui asas tatabahasa Arab;
g.      Menggunakan bahasa Arab fushah yang mengandungi perbendaharaaan kata, struktur; tulisan, dan sebutan serata kaedah morfologi dan sintaksis semasa mendengar, bertutur , membaca dan menulis;
h.      Menghafal mahfuzat terpilih serta asas morfologi dan memperdengarkannya;
i.        Menghayati dan mengamalkan nilai murni, sikap positif, semangat patriotik dan kewarganegaraan.
(Bahagian Pendidikan Islam Moral 2007)


2.3       Pembelajaran Bahasa Arab Sebagai Bahasa ke Dua/ Bahasa Asing
Status pembelajaran bahasa Arab sebagai bahasa asing telah jelas dinyatakan di dalam Akta Pendidikan 1996. Di sekolah rendah, pembelajaran bahasa arab telah bermula sejak tahun 1997 sehingga kini. Selain dari bahasa ibunda, iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Arab ini menjadi bahasa kedua atau juga bahasa asing.
            Para pakar pendidikan bahasa Arab secara umumnya berpendapat bahawa pembelajaran bahasa Arab sebagai bahasa asing atau bahasa ketiga hendaklah bermula dengan pembelajaran kemahiran mendengar, bertutur, membaca, dan menulis sebelum pengetahuan tatabahasa. Antaranya ialah al Sini Mahmud Ismail , Nasif Mustafa dan Mukhtar al Tahir (2006). Kajian mengenai pembelajaran bahasa Arab sebagai bahasa asing telah berkembang pesatnya pada akhir abad ke-20 Masihi (Abdul Razak, 2004)  
            Hasil kajian Dulay , Burt dab Krashen (1982) mencadangkan bahawa arahan dalam isi kandungan mata pelajran lain di sekolah rendah perlu disepadukan ke dalam kurikulum bahasa asing untuk menjadikan pembelajaran lebih menyeluruh. Oleh itu integrasi dalam pengajaran dan pembelajaran adalah sangat penting, kerana ia dapat meningkatkan kemahiran murid dalam pembacaan, penulisan  dan pemikiran merentasi kurikulum, arahan bahasa dan juga termasuk kemahiran pemikiran kritikal seperti analisis, sintesis, dan penilaian dalam semua bahagian kurikulum.
Kedaan ini telah berlaku dalam kurikulum pendidikan kita apabila PPSMI di perkenalkan pada tahun 2003 yang mana bahasa Inggeris telah digunakan dalam matapelajaran sains dan matematik. Namun kelestarian program PPSMI ini bakal berakhir kerana beberapa unit operasionalnya kurang berkesan dan masalah pencapaian murid kurang memberansangkan.
Selain itu, bahasa Arab masih mengekalkan momentum tersendiri untuk kekal sebagai mata pelajaran pilihan di sekolah rendah sebagai bahasa ke dua. Memandangkan Islam sebagai agama rasmi negara, tentulah bahasa Arab ini mendapat tempat yang baik di kalangan masyarakat Islam umumnya.
2.4       Kaedah Pengajaran Bahasa ke dua
Melihat kepada keperluan penguasaan bahasa ke dua, banyak kaedah dan teori telah dihasilkan oleh para sarjana bahasa dalam bidang ini. Mereka mendatangkan kaedah yang berlainan mengikut aliran yang diperjuangkan. Kewujudan teori pembelajaran behaviorisme, kognitif dan interaksionalis mencetuskan pertembungan dan pertelingkahan dalam kaedah pengajaran bahasa.
            “Teori Pembelajaran Kod Kognitif” yang dipelopori oleh Chomsky telah memperkenalkan Teori Nahu Terjemahan (Transformational Grammar). Menurut teori TG setiap yang dilafazkan menurut rusmus-rumus sesuatu bahasa, mempunyai dua struktur,iaitu struktur permukaan dan struktur dalaman. Struktur permukaan ialah struktur ayat-ayat yang kita gemar dengar dan lihat, manakala struktur dalaman ialah struktur ayat pada peringkat yang abstrak si dalam pemikiran penutur sebelum ayat itu dilahirkan. Bahagian dalam bahasa berupa proses mental yang dapat mengeluarkan bahasa tanpa peransangan dari luar dan bahasa sebenarnya adalah hasil dari pemikiran. Itulah sebabnya dalam pendekatan ini, analisis dilakukan dan bukannya analogi. Dengan analisis para pelajar menggunakan fikiran mereka untuk memahami satu-satu hukum tatabahasa. Pengajaran dibuat secara deduktif, iaitu guru mengajar secara formal tentang satu-satu hukum tatabahasa (Kamarudin 1988 dan Hamizul 2008).
            Manakala “Teori Pembelajaran Behaviorisme Dengar Tutur” dipelopori oleh Bloomfield dan ahli psikologi yang mendasari teori ini ialah Skinner. Menurut teori ini, bahasa itu dianggap suatu aktiviti yang diperolehi melalui latihan dan pengulangan hingga menjadi satu tabiat , dan bahasa itu dalah sesuatu yang hidup dan dengan itu mestilah dipelajari dalam suasana semulajadinya iaitu bahasa lisan (Kamaruddin 1988). Teori anjuran Skinner ini, meletakkan kebolehan bahasa itu akan berlaku secara semulajadi sekiranya ransangan yang berkesan berlaku secara berulang-ulang. Ini kerana sifat semula jadi manusia dan dikurniakan kelengkapan yang sempurna untuk mempelajari bahasa.
            Oleh yang demikian, kaedah pengajaran atau pemerolehan bahasa asing sangat signifikan untuk dipraktiskan dalam pengajaran bahasa Arab sekolah rendah berdasarkan teori-teori yang telah di kaji.
   
2.5       Kaedah Pengajaran Bahasa Arab Sebagai Bahasa ke Dua
Pendekatan kaedah pengajaran bahasa arab di Malaysia telah berubah mengikut perubahan zaman, dan keperluan semasa. Objektif dan matlamat juga menjadi kayu pengukur kepada sesuatu pelaksanaan kaedah pengajaran. Secara khususnya, di sekolah rendah matlamat utama ialah kebolehan komunikasi di samping kemahiran membaca, menulis dan mendengar. Namun begitu, kaedah-kaedah yang bertepatan dengan tahap murid dan latarbelakang murid  menjadi keutamaan bagi pengajar bahasa Arab.  
 Maimun Aqsha Lubis (1997) dalam kajiannya mendapati bahawa tiada satu pendekatan yang sesuai digunakan untuk setiap pelajar dan untuk setiap keadaan. Beliau mendapati setiap pendekatan ada kelebihan dan kekurangan berbanding pendekatan lain. Antara dapatan beliau ialah (a) pendekatan tradisional lebih berkesan untuk memahami pembendaharaaan kata bagi pelajar peringkat permulaan, (b) pendekatan dengar dan tutur lebih berkesan untuk kemahiran mendengar dan bertuturbagi pelajar peringkat permulaaan dan pertengahan dan (c) pendekatan langsung lebih berkesan untuk kemahiran bertutur untuk pelajar peringkat tinggi.
Penyelidikan oleh Abdul Rahman Bin Haji Abu Bakar (1990) dilaksanakan adalah bertujuan untuk membandingkan keberkesanan dua kaedah pengajaran ke atas pencapaian pelajaran tatabahasa Arab pelajar-pelajar di peringkat tingkatan 4. Beliau telah memilih dua kaedah pengajaran iaitu kaedah deduktif dan kaedah induktif. Secara kesimpulannya, tidak terdapat perbezaan yang signifikan di antara kesan pengajaran kaedah induktif dengan kesan pengajaran kaedah deduktif dalam tata bahasa Arab walaupun wujud purata pencapaian kumpulan kaedah induktif lebih tinggi jika dibandingkan dengan purata pencapaian kumpulan deduktif. Dengan ini, penyelidik mengatakan bahawa tiada satu kaedah yang tertentu yang lebih sesuai untuk mengajar semua tajuk pelajaran tata bahasa, bahkan kaedah deduktif dan kaedah induktif adalah sama sesuai digunakan untuk mengajar pelajaran tata bahasa Arab

Antara kaedah yang yang terdapat dalam pengajaan bahasa Arab ialah, kaedah Tradisional ( Terjemahan dan Hafalan), Kaedah Taqlidiyyah ( Nahu-Terjemahan) Kaedah Samiyyah Syafawiah( Dengar – Tutur) dan  Kaedah Eklektik Sistematik.

2.5.1    Kaedah Tradisional ( Terjemahan dan Hafalan)
Kaedah ini merupakan kaedah yang diwarisi secara tradisi. Guru yang ada sekarang walaupun mengikuti kursus perguruan tetapi mereka masih menggunakan kaedah tersebut dan kerap kali digunakan di sekolah agama kerajaan negeri (Mohammad Marwan dan Rosni bin Samah, 2007). Ini kerana mereka yang menjadi guru bahasa  kini mendapat pendidikan dari era 80an dan 90an yang lebih mementingkan tatabahasa  Arab dan hafalan mufrodat untuk menguasai bahasa. Menurut Rosni Samah ( 2009) gabungan antara terjemahan dengan hafalan inilah yang memberi kekuatan kepada sistem pengajian pondok dalam melahirkan pelajarnya yang berkemampuan membaca kitab-kitab turath. Meraka mempunyai kemahiran yang baik walaupun tidak pernah pergi ke negara-negara Arab. Terdapat juga kemahiran mereka dalam memahami turath ini mengatasi pelajar-pelajar yang kembali dari universiti  di tanah Arab.
            Menurut kaedah ini, guru akan membaca petikan  bahasa Arab dan menterjemahkan setiap kalimah  ke bahasa Melayu. Begitu juga diperingkat sekolah rendah, ayat yang dibacakan akan diterjemahkan oleh guru. Seterusnya guru akan memilih kosa kata yang baru dan mudah untuk dihafal oleh murid-murid. Proses yang berlaku secara berulang-ulang akan menguatkan lagi ingatan murid kepada kosa kata yang dibaca. Apabila murid memahami maksud kosa kata mereka akan berupaya menggunakannya dalam pertuturan atau penulisan.
2.5.2    Kaedah Taqlidiyyah ( Tradisional Nahu- Terjemahan)
Pengajaran dalan kaedah ini dimulakan dengan latihan kemahiran membaca , kemudian melibatkan semua kemahiran yang lain sepeti kemahiran bertutur , membaca dan menulis. Pengajaran nahu (tatabahasa) pula disampaikan secara deduktif iaitu dengan menerangkan definisi (takrif) satu-satu Qawaid dengan terperinci terlebih dahulu kemudian diteruskan dengan menerangkan contoh-contoh yang berkenaan dengannya. Takrif kaedah ini akan di suruh hafazkan oleh guru. Ketika mengajarkan teks bacaan samada bentuk perbualan ataupun rancangan diadakan terjemahan ke dalam bahasa ibunda( bahasa melayu) dan pengajaran melalui kaedah ini tidak menggunakan alat pendang dengar (audio-visual). Kaedah ini mementingkan kepada tatabahasa dalam mengajar teks bacaan.
Diperingkat sekolah rendah, tahap sukatan bagi nahw atau tatabahasa arab adalah yang paling rendah. Contohnya pengenalan isim, fe’el dan harf di peringkat awal dengan menyatakan tanda-tanda untuk mengenali isim, fe’el dan harf dalam tulisan. Seterusnya hingga ke tahap mengenal dhomir atau ganti nama atau pelaku bagi setiap fe’el.
2.5.3    Kaedah Samiyyat al Syafawiyyah ( Dengar -Tutur)
Pengajaran dimulakan dengan latihan kefahaman mendengar kemudian melibatkan semua kemahiran yang lain seperti kemahiran bertutur, kemahiran membaca dan kemahiran menulis. Pengajaran nahw (tatabahasa) disampaikan secara nahw praktik iaitu mengajarkan nahu secara tidak langsung atau memahirkan kemahiran-kemahiran bahasa dengan tidak mengupas takrif ( definisi) tatabahasanya satu persatu. Walau bagaimanapun setiap pengajaran bahasa dalam keempat-empat kemahiran diajarkan dengan praktikal tatabahasa yang betul. Dalam mengajarkan teks bacaan pula samada bentuk perbualan ataupun rancangan tidak diadakan terjemahan ke dalam bahasa ibunda (bahasa Melayu) , dan kaedah ini menggunakan alat pandang dengar (audio-visual).
            Kaedah ini, tidak melibatkan terjemahan unit-unit kosa kata satu persatu, tetapi guru menunjukkan maksud dengan mendatangkan imaginasi atau mempamerkan kepada murid. Contohya mendatangkan gambar haiwan, perlakuan dan sebagainya.    
2.6.4    Kaedah Elektik Sistematik
Kaedah ini ialah gabungan di antara kebaikan kaedah Taqlidyyah dan kebaikan kaedah Samiyyah al- Syafawiyyah. Ia dibuat berdasarkan hasil keputusan kajian peringkat sarjana pendidikan UKM( Maimun Aqsha 1991). Melalui kaedah ini, pengajaran dimulakan dengan gabungan antara kemahiran mendengar dengan kemahiran membaca, ia juga melibatkan semua kemahiran yang lain seperti kemahiran bertutur, kemahiran membaca dan kemahiran menulis. Pengajaran nahw (tatabahasa) menerusi kaedah ini, disampaikan secara induktif, iaitu dengan menampilkan ayat-ayat (jumlah) dengan bahasa arab kepada pelajar serta melatihkan ayat-tersebut dalam kemahiran bahasa seperti kemahiran bertutur, kemahiran membaca dan memahami. Sementara ayat-ayat ini, adalah merupakan contoh-contoh dalam satu-satu pengkaedahan bahasa Arab, sehingga samapi kepada definisi takrif kaedah tersebut. Cara induktif ini berlawanan dengan cara deduktif pada kaedah Taqlidiyyah /Tradisional. Takrif kaedah ini tidak sampai disuruh hafazkan oleh guru, namun disuruh di fahamkan dengan baik dengan cara mengulang keterangannya beberapa kali sambil mengaitkannya semua dengan contoh yang diberikan. Dalam mengajarkan teks bacaan samada dalam bentuk perbualan ataupun petikan karangan, terjemahan ke dalam bahasa ibunda dibuat jika amatdiperlukan dan dalam setiap pengajaran menerusi kaedah ini digunakan alat pandang dengar (audio-visual). 


             


  

BAB 3
METODOLOGI KAJIAN
3.1       Pendahuluan
Bab ini akan membincangkan mengenai metodologi kajian. Perbincangan ini meliputi reka bentuk kajian, populasi dan sampel kajian, lokasi kajian, instrumen kajian, tatacara pemerolehan data dan seterusnya tatacara penganalisisan data.

3.2       Reka Bentuk Kajian
Reka bentuk kajian yang dijalankan ini berasaskan kepada :
a)      Statistik diskriptif digunakan dalam kajian ini melalui fakta-fakta yang diperoleh daripada kajian kes dan tinjauan sampel. Tinjauan sampel merangkumi aspek latarbelakang responden, pendidikan yang diperoleh, kaedah pengajaran yang biasa digunakan, faktor yang mempengaruhi minat murid dalam pembelajaran bahasa Arab.
b)      Kajian dihuraikan dalam bentuk statistik iaitu merujuk kepada kaedah menganalisis data untuk mengkaji kaitan-kaitan yang wujud dan menyelidik makna yang terkandung di dalam kumpulan data.
c)      Kaedah observasi iaitu pemerhatian dan tinjauan juga digunakan untuk mendapatkan data-data dan fakta daripada tenaga pengajar dan murid untuk mengenalpasti pendekatam kaedah pengajaran bahasa Arab yang bersesuai dan bertepatan dengan matlamat pengajaran bahasa Arab di Malaysia.
3.3       Sampel Kajian
Seramai 10 orang guru dan 50 orang murid  tahun 5 terlibat dalam kajian ini. Mereka terditi daripada guru yang berwibawa dalam pengajaran bahasa Arab dan murid yang sedang belajar di tiga buah sekolah di daerah  Petaling Perdana. Sekolah kebangsaan yang terlibat iaitu SK. Seksyen 27 (1) Shah Alam, SK. Seksyen 18 dan Sk. Taman Alam Megah. Pemilihan sampel adalah secara rawak mengikut tahap penguasaan murid dalam pembelajaran bahasa Arab.
3.4       Instrumen Kajian
Instrumen yang digunakan berbentuk soal selidik iaitu set soalan bagi mendapatkan maklumat responden. Dua set borang soalan diedarkan kepada responden iaitu guru dan murid. Set borang soalan tersebut dibahagikan kepada dua bahagian iaitu bahagian A untuk biodata diri dan bahagian B untuk matapelajaran bahasa Arab.
3.4.1    Pembinaan Instrumen Kajian
Instrumen kajian ini dibahagikan kepada dua iaitu:
a)      Item A untuk murid. Ia meliputi latarbelakang murid dan tahap akademik ibu bapa murid
Segala data tahap pendidikan ibu bapa perlu dinyatakan baagi mempengaruhi jawapan-jawapan yang dikumpulkan dalam bahagian B.
b)      Item A untuk guru. Ia meliputi latarbelakang, tahap akademik dan pengkhususannya, tempoh responden mengajar mata pelajaran bahasa Arab dan tahun yang diajar. Selain itu kaedah yang lazimnya digunakan dalam pengajaran bahasa Arab.
c)      Bahagian B untuk murid  meliputi 36 item yang mewakili 4 pembolehubah. 4 item mewakili latabelakang ibu bapa, 10 item mewakili sikap dan minat murid, 12 item mewakili pengajaran dan pembelajaran, 10 item mewakili keadaan iklim sekolah. Terdapat 10 item dinyatakan dalam penyataan negatif.
d)     Bahagian B untuk guru meliputi 36 item yang mewakili 4 pembolehubah. 4 item mewakili Latar Belakang, 10 item mewakili akademik dan pengalaman mengajar, 12 item mewakili kaedah pengajaran bahasa Arab dan 10 item minat dan sikap murid terhadap pembelajaran bahasa Arab.





3.5       TATACARA PEMEROLEHAN DATA
Tatacara pemerolehan data membincangkan tentang bagaimana subjek kajian dipilih, data kaedah pengajaran yang bersesuai diambil daripada skor ujian yang dijalankan.
3.5.1    Subjek Kajian
Kajian dijalankan di tiga buah sekolah di daerah Petalin perdana iaitu SK. Sekyen 27 (1), SK. Seksyen 18 dan SK. Taman Alam Megah. Kajian ini melibatkan 50 orang murid yang sedang mengikuti pembelajaran bahasa Arab dan 10 orang guru yang berpengalaman dalam pengajaran bahasa Arab.
3.5.2    Ujian Pra
Semua murid dari tiga sekolah ini dikehendaki menduduki ujian pencapaian yang bagi melihat tahap pencapaian murid dalam pembelajaran bahasa Arab. Pengkaji juga menyediakan ujian pencapaian bagi guru untuk melihat kaedah pengajaran yang seringkali digunakan oleh tenaga pengajar.
3.5.3    Temubual
Temu bual berstruktur dijalamkan kepada guru-guru yang mengajar bahasa Arab dan beberapa orang murid yang dipilih untuk mendapatkan maklumat sokongan selanjutnya tentang pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab Komunikasi di sekolah rendah. Seterusnya, skor ujian pra dan temubual akan dikumpulkan untuk dianalisis oleh pengkaji.
3.6       TATACARA PENGANALISAAN DATA
Data-data yang bersifat kuantitatif daripada soal selidik, ujian pra dan temubual dianalisis dengan menggunakan sisitem perisai Statistical Packages for Social Science (SPSS) Windows Release 14.0.
3.6.1    Data Kuantitatif
Data kuantitatif terdiri daripada data-data mengenai profil murid, skor likert murid dalam soal selidik tentang latarbelakang murid, minat dan sikap murid terhadap pembelajaran bahasa Arab, skor tahap pengurusan kelas yang kondusif. Selain itu skor likert guru dalam soal selidik tentang tahap akademik dan pengalaman dalam pengajaran bahasa Arab, skor tahap kaedah pengajaran yang digunakan semasa pengajaran berlangsung.
3.6.2    Data Kualitatif
Data kualitatif terdiri daripada data-data mengenai skrip jawapan hasil temubual yang dijalankan ke atas guru dan murid yang terlibat dalam kajian ini. Data-data ini dianalisis secara manual berdasarkan pengkelasan tentang tahap pencapaian murid dalam kelas dan kaedah pengajaran guru dalam perlaksaan bahasa Arab Komunikasi. Hasil temubuaj ini dianalisis berdasarkan soalan-soalan yang dikemukan secara sesi temubual. Soalan temubual dibuat secara berstruktur bagi memudahkan catatan dan responden menjawab mengikut kehendak soalan. Hasilnya dirumus kepada beberap aspek berkaiatan soalan temubual dan dihuraikan dengan lebih berfokus.