KEBERKESANAN KAEDAH PENGAJARAN BAHASA ARAB TERHADAP MURID TAHUN 5
DI SEKOLAH RENDAH
BAB 1
PENGENALAN
1.1.1
Pendahuluan
Bahasa Arab pada masa kini sudah
menjadi salah satu bahasa utama dunia setanding dengan bahasa-bahasa utama yang
lain. Antara faktor yang menyumbang kepada penerimaan dunia terhadap penggunaanya
adalah kerana penyebaran yang luas meliputi banyak negara dan jumlah penutur
jatinya yang begitu besar. Oleh itu,
tidak hairanlah mengapa bahasa Arab kini dianggap sebagai bahasa utama dunia
selain bahasa Inggeris , Perancis dan Sepanyol. Bahasa Arab juga merupakan
bahasa perdagangan, perhubungan antarabangsa, politik dan ilmu pengetahuan bagi
masyarakat dunia kini.
Rafa’il Nakhlah Al Yasu’iy (1986, 9 ) seorang orentalis Arab
menjelaskan bahawa bahasa Arab merupakan satu bahasa yang berkembang dan
digunakan bukan saja di benua Arab, bahkan ia terus berkembang ke benua Asia,
Afrika dan Eropah semenjak 14 kurun yang lampau. Melihat kepada perkembangan
ini,ternyata bahasa Arab memiliki kekayaan sinonim, antonim, akronim dan gaya bahasa yang tidak
boleh ditandingi oleh mana-mana bahasa yang lain. (Abdul Rauf Hassan 2002).
Semua
pengkaji filologi dan linguistik Arab percaya bahawa bahasa Arab berasal dari
bahasa Semit ( dalam bahasa Ibrani dinamakan SEM). Malah terdapat beberapa
pandangan ahli linguistik Arab yang mengatakan kemungkinan bahasa terawal yang
dituturkan oleh orang Samiyyah ini juga adalah bahasa Arab Kuno (al arabiah al
qadimah) ( Ali Abdul Al Wahid T.th ,15) . Keluarga bahasa Semit disebut sebagai
Afroasia. Bahasa Afroasia dituturkan oleh kira-kira 150 juta orang yang berbeza
dari segi etnik dan ras. Pada hari ini, ia meliputi sebahagian besar Timur
Tengah dan seluruh Afrika Utara, sebahagian besar Afrika Timur Laut dan suatu
kawasan yang agak besar yang boleh secara kasar ditakrifkan sebagai barat laut
Afrika Tengah. Cabang-cabang utama bagi bahasa Afroasia adalah seperti bahasa
Mesir, bahasa Semit, bahasa Kush, bahasa Omo, Berber dan bahasa Chad ( Bernard
Comrie 1998, 3).
Oleh yang demikian, amat wajarlah kepada umat Islam mempelajari
bahasa Arab dan menguasainya bukan sahaja kerana ia adalah bahasa al-Quran dan
al-hadith tetapi kerana ia juga adalah bahasa pertuturan seharian dan diterima oleh segenap lapisan
masyarakat di dunia.
1.1.2 Sejarah
Kedatangan Bahasa Arab di Malaysia
Bahasa arab di Malaysia
bukanlah satu bahasa yang asing. Faktor
sejarah Tanah Melayu telah banyak membantu perkembangan bahasa arab di Malaysia.
Kedatangan pedagang-pedagang Arab dari tanah Arab ke Tanah melayu bukan sekadar
berdagang sahaja, malah turut membawa pengaruh Islam ke Tanah Melayu. Pada
peringkat permulaan, bahasa Arab berkembang dalam hubungan antara pedagang Arab
dengan masyarakat tempatan sebagai bahasa perhubungan atau komunikasi. Maka secara tidak langsung, bahasa Arab turut
mengalami perkembangan dan diperkenalkan di Tanah Melayu (Rosni Samah : 2009).
Menurut kajian an- Nadawi( 1990)
teori kedatangan bahasa Arab serentak dengan kemunculan Islam di Malaysia
bukanlah suatu yang mnghairankan kerana bahasa Arab merupakan kunci untuk
memahami agama Islam. Oleh sebab bahasa arab ialah bahasa al Quran dan hadis yang
menjadi sumber dan asas utama Islam, tarikh kedatangannya tidaklah sukar untuk
ditentukan jika dikaitkan dengantarikh kedatangan Islam.
Terdapat banyak perbincangan oleh
para sarjana tempatan mahupun sarjana barat teori kedatangan bahasa Arab ke Tanah
Melayu. Menurut al Attas (1969) tarikh yang tercatat pada batu bersurat di
Kuala Berang, Terengganu, iaitu 4 Rejab 702 hijrah yang bersamaan dengan 22
Februari 1303 Masihi menjadi bukti kedatangan Islam ke Tanah Melayu pada abad
ke 14 atau lebih awal. Sarjana Barat seperti D.G.E Hall dan Harrison
mengandaikan kedatangan tersebut adalah pada abad ke-15.
Agama Islam merupakan faktor utama
yang meletuskan perkembangan bahasa Arab ke Malaysia sehingga kini. Kesungguhan
masyarakat Melayu mendalami ilmu agama menyemarakkan lagi bahasa Arab ke seluruh
pelusuk Malaysia. Dari pendidikan yang tidak formal sehingga kini bahasa Arab
menjadi salah satu bahasa terpenting di negara kita dan telah dimasukkan dalam
kurikulum pendidikan untuk sekolah rendah menengah sehingga ke institusi
pendidikan tinggi.
Menurut Abdul Rahman (2009) dari segi perkembangan bahasa Arab
faktor pendidikan banyak sekali dibantu oleh faktor pendidikan berbanding
dangan faktor lain. Sejarah pendidikan awal bahasa Arab bermula sejak institusi
Pondok diperkenalkan pada awal abad ke 19.
1.1.3 Latar Belakang
Pengajaran Bahasa Arab di Malaysia
Pada kurun ke 14 masihi
hingga kurun ke 15 masihi bermula pendidikan agama Islam di istana-istana
apabila Sultan memeluk agama Islam, seperti Sultan Megat Iskandar Shah di
Melaka. Begitu juga berlaku di tempat-tempat lain di Nusantara, seperti di
Acheh, Pattani, Brunei, Mindanao dan Sulu. Menurut Ismail Hamid (1991) menyatakan pada zaman
perkembangan Islam di alam Islam sekitar kurun ke 14 dan seterusnya pengajaran
bahasa Arab berkembang mengikut perkembangan pendidikan Islam di istana-istana.
Pengajaran bahasa arab secara rasmi
jelas dapat dilihat dalam masyarakat Melayu khususnya semasa kemunculan
pusat-pusat pengajian Islam yang berbentuk pondok pada abad ke -18M (Abdullah
Jusuh, 1989). Masyarakat Melayu pada ketika itu mempelajari ilmu-ilmu Islam
dari alim ulama yang berpendidikan timur tengah dan menggunakan kitab-kitab
yang berbahasa Arab sepenuhnya. Dalam sistem tradisional ini, aspek
pembelajaran bahasa arab ditekankan kepada pelajar-pelajar untuk memahami kitab
rujukan yang berbahasa Arab.
Pengajaran bahasa Arab di dalam
institusi Pondok lebih memfokuskan kepada pengajaran tatabahasa dan morfologi.
Kurikulum sesebuah institusi Pondok agak berbeza kerana ia bergantung kepada
kemampuan guru dan pelajar-pelajarnya (Rosnani: 1996). Buku teks yang biasa
digunakan untuk pengajaran tatabahasa dan morfologi ialah Matn ul ‘jrumiah,
Matn ‘alfiyyah ibni Malik, Matn
ul izzi , Sharh ubni aqil, Shudhur udhahab (Abdul Rahim: 1993).
Penekanan kepada kefahaman
tatabahasa ini, menyebabkan pelajar-pelajar di pondok mampu untuk membaca
kitab-kitab berbahasa arab dan memahami
ilmu yang dipelajari. Di sini didapati kekuatan sistem kurikulum Pondok
yang menggunakan kaedah nahu terjemahan
dan hafalan bagi pelajar-pelajar mereka.
Hasil daripada pembelajaran bahasa Arab
di pusat-pusat pengajian Islam berbentuk pondok inilah, lahir ramai tokoh Islam
yang mampu memahami kitab-kitab Islam yang yang tinggi dan menyambung pengajian
mereka di negara-negara Arab khususnya di Mekah dan Madinah. Hasil daripada
pencapaian pengajaran tersebut lahirlah tokoh-tokoh tuan guru yang hebat dan
mampu mengasaskan institusi Pengajian Islam mereka sendiri. ( Rosni Samah 2009,
3). Institusi yang pertama di kesan ialah Pondok Tok Pulai Condong yang telah
dibina di Kelantan (Abdul Rahman 2009).
Kelahiran sistem pondok ini telah
menyumbang kepada kesinambungan pengajaran bahasa Arab di Malaysia dan dari
sistem ini lahir sistem madrasah yang lebih menekankan kepada kemahiran bahasa
Arab komunikasi yang kita ada sekarang ini.
Sistem persekolahan ini telah
berkembang pesat dengan peralihan sistem-sistem pondok ke sistem sekolah bagi
menyahut cabaran dan keperluan semasa. Tokoh pengasasnya ramai yang berpengaruh
dengan gagasan reformasi yang dibawa oleh tokoh-di negara Arab seperti Syeikh
Muhammad Abduh. Antara tokoh yang mengasaskan sistem madrasah ini ialah Tuan
Haji Salleh Masri yang mengasaskan Madrasah Al Masriyyah, Seberang Perai (
Abdullah Jusuf 1989). Seorang
anak didik Al-Masyhor, iaitu Syeikh Abdullah Maghribi telah mendirikan madrasah
Idrisiah di Perak. Terdapat lepasan Al-Masyhor yang lain turut menubuhkan
Madrasah Al-Diniyyah Kampung Lalang, Perak pada tahun 1934.
Pembangunan sistem madrasah seiring
dengan perubahan iklim pendidikan di
Malaysia selepas merdeka. Institusi madrasah telah dikenali dengan nama sekolah
agama namun sebahagiannya masih mempraktiskan sistem lama. Kelahiran
sekolah-sekolah agama ini telah diletakkan di bawah Majlis Agama Islam. Di
samping menggunakan sukatan agama dari Negara Mesir, sekolah agama ini juga menggunapakai
sukatan pelajaran untuk pelajarnya menduduki peperiksaan awam SRP dan SPM.
Menurut Zawawi Ismail ( 2001) selepas Malaysia mencapai kemerdekaaan pada tahun
1957, pada ketika itu banyak institusi pendidikan formal ditubuhkan. Bahasa
Arab telah diajar di sekolah-sekolah tersebut dan telah mendapat sambutan yang
amat menggalakkan dari segenap lapisan masyarakat.
Kurikulum
bahasa Arab bagi sekolah-sekolah tersebut mula digubal secara rasminya mulai Januari
tahun 1977 dengan pengambilan 11 buah sekolah menengah agama negeri dan rakyat
sebagai percubaan. Bahasa Arab di sekolah –sekolah tersebut lebih menjurus
kepada kemahiran berbahasa atau kemahiran berkomunikasi. Walaupun hanya satu
subjek bahasa Arab ditawarkan tetapi ia merangkumi beberapa komponen kemahiran
berbahasa di samping ilmu tatabahasa seperti nahu , saraf dan balaghah. ( Wizarah
Tarbiyyah Malayziyyah, 2003)
1.1.4 Perkembangan Bahasa Arab di Sekolah Rendah
Dalam arus perkembangan kehidupan moden hari ini, bahasa Arab
berkembang sebagai bahasa komunikasi. Justeru, bahasa Arab di Malaysia
dirasakan perlu dipelajari dari tahap awal hingga ke tahap yang tinggi. Bermula
diperingkat sekolah rendah hinggalah ke tahap pengajian tinggi. Jika dilihat
pada masa kini, bangsa lain turut meminati dan memperlajari bahasa Arab sebagai
bahasa tambahan. Jelas di sini membuktikan bahawa bahasa Arab bukan sekadar
untuk mendalami agama Islam sahaja malah ia juga merupakan bahasa komunikasi.
Diperingkat sekolah rendah, bahasa Arab
telah diperkenalkan pada tahun 1997 menerusi matapelajaran bahasa arab
komunikasi. Ia merupakan projek rintis yang melibatkan 97 buah sekolah
kebangsaan di seluruh negara. Secara rasminya, perlaksaan bahasa Arab
komunikasi di sekolah kebangsaan dibuat mulai tahun 1998. Sehingga 31 Disember
2002, terdapat 910 buah sekolah kebangsaan yang telah menawarkan bahasa arab
komunikasi melibatkan 5,828 buah kelas dan 172,941 orang murid
(http;//.japim.edu.mu/bkpim.baksr-bm.htm). Menurut Jabatan Pendidikan Islam
Moral, matlamat bahasa arab disekolah rendah
iaitu menanam minat mempelajari bahasa Arab bagi menguasai kemahiran
berbahasa di samping membolehkan murid berkomunikasi dengan mudah.
Pada 24 April 2004 YB Dato’
Hisyamuddin bin Tun Hussien Onn, Menteri Pelajaran pada masa itu telah
melancarkan program j-QAF yang akan dijalankan di sekolah rendah. Program ini
akan bermula pada tahun 2005. Penekanan dalam program ini ialah empat aspek yang
utama untuk kecemerlangan pendidikan Islam iaitu, pengajaran jawi, al Quran,
bahasa Arab dan Fardu Ain. Pelaksanaan dibuat berperingkat dan dijangka semua
sekolah rendah akan melaksanakan program ini pada tahun 2010 sebagai salah satu
usaha pemantapan kurikulum demi meningkatkan kecemerlangan sekolah rendah yang
merupakan fokus strategi pelaksanaan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan
(KPM 2006).
Sehingga kini program bahasa Arab
Komunikasi j-QAF telah berlangsung
selama 6 tahun hampir keseluruhan sekolah kebangsaan di Malaysia.
1.2
Permasalahan Kajian
Pengajaran dan pembelajaran
bahasa yang formal seharusnya
bermatlamat menguasai bahasa itu
sepenuhnya dengan menguasai kemahiran-kemahiran asas bahasa iaitu, mendengar,
membaca,menulis dan bertutur. Kesinambungan asas-asas ini akan membentuk
kefahaman berbahasa yang jitu. Namun begitu menurut menurut Chomsky (1965)
kompentensi bahasa adalah pengetahuan seseorang tentang rumusan linguistik yang
bercorak asbstrak tentang sesuatu bahasa itu dalam perlakuan bahasanya.
Prestasi bahasa yang ditunjukkan oleh seseorang pengguna bahasa itu akan
menggambarkan pengetahuannya tentang rumus-rumus bahasa tersebut. Konsep
prestasi dapat dilihat dari sudut perlakuan dan pertuturan.
Terdapat banyak kajian penyelidikan tentang
kaedah pengajaran bahasa Arab di peringkat menengah dan institusi pengajian
tinggi, namun penyelidikan kaedah ini di peringkat sekolah rendah masih amat
sukar didapati. Beberapa kajian diperingkat institusi mendapati kelemahan guru mengaplikasikan
kaedah yang betul antara faktor-faktor kepada kelemahan pencapaian pelajar
disamping minat, persekitaran, bahan pengajaran yang sesuai.
Kajian Mohamed
Abd. Rahman (1994) mendapati beberapa masalah dalam pelaksanaan pengajaran
bahasa arab di Akademi Islam Universiti Malaya (AIUM). Di antaranya pendekatan
kaedah pengajaran yang digunakan dalam pengajaran kurang berkesan di mana guru
hanya menggunakan teknik kuliah dan tutorial. Penggunaan bahan bantu mengajar
yang kurang semasa proses pengajaran dan masalah sukatan pelajaran yang
berulang serta bertindih tajuk menimbulkan perasaan bosan dan jemu di kalangan
pelajar untuk mengikuti pengajaran bahasa arab dengan baik. Ini telah
menjejaskan keupayaan penguasaan mereka dalam bahasa Arab.
Pengkaji berpendapat, perlunya ada
banyak kajian dalam bidang ini, memandangkan pelaksanaan program Bahasa Arab
Komunikasi di sekolah rendah telah bermula sejak tahun 1997 dan program j-QAF
juga telah berlangsung selama 6 tahun bermula pada tahun 2005.
Analisis pencapaian Bahasa Arab Komunikasi bagi kohot 2005 yang dikeluarkan oleh Unit j-QAF, Sektor Pendidikan Islam Bahagian Pembangunan
Kurikulum Kementerian Pelajaran Malaysia 2010:
Calon yang memperolehi gred D
seramai 1258 orang dan calon yang memperolehi gred E seramai 647 orang. Jumlah
gagal ini adalah tertinggi berbanding matapelajaran yang lain.
Justeru itu,pengkaji berpendapat perlunya ada kajian yang lebih
mendalam berkenaan Bahasa Arab Komunikasi sekolah rendah ini, memandangkan
data-data yang diperolehi menunjukkan ketidak seimbangan pencapaian murid di
peringkat rendah dan menengah.
Dalam kajian ini permasalahan yang
akan diketengahkan adalah sejauhmanakah kaedah
pengajaran yang diamalkan oleh tenaga pengajar bahasa Arab di sekolah
rendah. Seperti kaedah terjemahan dan hafalan (tradisional) ,kaedah mendengar
dan menyebut( samiyyat syafawiyyah),kaedah elektik sistematik dan kaedah
taqlidiyyah (nahu-terjemahan) mampu memberi impak yang berkesan kepada murid
atau pencapaian dalam menguasai bahasa Arab.
1.3
Tujuan Kajian
Tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk melihat sejauhmanakah
keberkesanan kaedah pengajaran guru bahasa Arab terhadap pembelajaran bahasa
Arab. Kaedah pengajaran yang dilihat dalam kajian ini adalah kaedah terjemahan,
hafalan ,kaedah Nahu terjemahan (kaedah taqlidiyyah) mendengar dan menyebut (kaedah
Samiyyat Syafawiyyah ),kaedah eklektik sistematik. Kaedah pengajaran ini dikaji
mengikut kesesuaian tahap kemahiran bahasa Arab murid. Ini bertujuan untuk
meninjau apakah kaedah pengajaran bahasa Arab yang cepat dan sesuai digunakan
bagi meningkatkan minat serta pencapaian murid.
Kajian lepas telah membuktikan bahawa sikap dan minat murid boleh
mempengaruhi pencapaian akademik murid dan akhlak mereka (Suradi Salim: 1978).
Kajian ini juga di harap dapat memberi sedikit sebanyak gambaran tentang
pencapaian murid melalui kaedah yang betul dan menjadi pedoman buat guru-guru
bahasa Arab.
1.4
Objektif Kajian
a.
Mengenalpasti kaedah pengajaran yang dijalankan oleh guru dan
hubungan dengan pencapaian murid.
b.
Mengenalpasti kaedah yang bersesuaian mengikut kemahiran.
c.
Mengenalpasti kekuatan dan kelemahan kaedah yang diamalkan dalam
pengajaran bahasa Arab.
d.
Meninjau halangan-halangan keberkesanan kaedah dalam pengajaran
bahasa Arab.
1.5
Persoalan Kajian
1.
Apakah kaedah yang paling popular dikalangan guru bahasa Arab di
sekolah kebangsaan?
2.
Apakah persepsi murid terhadap kaedah yang digunakan oleh guru-guru
yang mengajar bahasa Arab?
3.
Bagaimanakah tahap pencapaian pelajar dalm empat kemahiran bahasa
arab?
4.
Apakah halangan dan kekurangan untuk mempraktikkan kaedah-kaedah
dalam pengajaran bahasa Arab?
5.
Bagaimanakah sikap dan minat murid terhadap pembelajaran bahasa
Arab di sekolah Kebangsaan?
1.6
Hipotesis Kajian
a.
Tiada hubungan antara kaedah yang diamalkan guru dengan pencapaian
murid..
b.
Tidak terdapat kaedah yang sesuai untuk pengajaran bahasa Arab
tahap sekolah kebangsaan.
1.7
Kerangka Konseptual
1.8
Batasan Kajian
a.
Kajian ini dijalankan ke
atas guru dan murid yang dipilih secara rawak di tiga buah sekolah dalam daerah
Petaling Perdana. Kajian ini dibuat ke atas guru yang mengajar bahasa Arab dan
murid yang terlibat dalam pembelajaran bahasa Arab sahaja.
b.
Sampel dipilih secara bertujuan. Seramai 10 orang guru yang
mengajar bahasa Arab dan 50 orang murid tahun 5 yang terlibat pembelajaran
bahasa Arab.
c.
Kajian ini akan melihat sejauhmanakah kemahiran pengajaran guru
mampu meningkatkan prestasi pencapaian murid dalam pembelajaran bahasa Arab
ini. Pengkaji juga akan melihat aspek-aspek kebolehan dan kelemahan murid dalam
penguasaan bahasa Arab.
1.9
Kepentingan Kajian
Kajian seperti ini dianggap penting kerana dapatan hasil kajian ini
nanti dijangka dapat membantu guru membuat refleksi tentang pengajarannya serta
memperbaiki kaedah dan teknik pengajaran yang bersesuai mengikut tahap kesedian
murid. Selain itu, kajian ini penting untuk memberikan maklumat yang berguna
kepada guru bagi merancang aktiviti pengajaran dan menyediakan bahan pengajaran
berdasarkan jenis kelemahan murid dalam
pembelajaran bahasa Arab. Selain itu, dapatan kajian ini akan dapat menilai
adakah bahan pengajaran atau sukatan pelajaran bahasa Arab tahun 5 ini mencapai
objektifnya atau sebaliknya.
1.10
Definsi Operasional
Dalam kajian ini, berapa istilah tertentu akan digunakan bagi
memenuhi kehendak dan maksud kajian. Antara istilah-istilah tersebut ialah:
a.
Keberkesanan – bermaksud satu keputusan yang menunjukkan sesuatu
tindakan dengan adanya perubahan ( Kamus Dewan: 2005). Keberkesanan yang
dimaksudkan dalam kajian ini ialah perubahan pada pengetahuan, tingkah laku
atau sikap guru berdasarkan matlamat dan objektif yang telah digariskan melalui
pengajaran bahasa Arab.
b.
Pengajaran bermaksud sesuatu
tugasan dan aktiviti yang diusahakan bersama oleh guru dan muridnya. Pengajaran
ini adalah dirancangkan guru secara sisitematik dan teliti untuk
melaksanakannya dengan kaedah dan teknik mengajar yang sesuai, membimbing,
menggalak dan memotivasikan murid supaya mengambil inisiatif untuk belajar,
demi memperolehi ilmu pengetahuan dan menguasai kemahiran yang diperlukan
c.
Bahasa Arab Komunikasi- adalah merupakan mata pelajaran bahasa Arab
Komunikasi yang diperluaskan kepada semua murid beragama Islam. Mata pelajaran
ini adalah sebahagian daripada mata pelajaran yang dilaksanakan dalam program
j-QAF dan setaraf dengan bahasa-bahasa tambahan yang lain di sekolah rendah.
BAB 2
TINJAUAN LITERATUR
2.1 Pendahuluan
Bab ini akan membincangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan
permasalahan kajian, pengajaran bahasa Arab untuk kanak-kanak, kurikulum
BAK sekolah rendah serta matlamat
pengajaran. Di samping itu tinjauan literatur juga akan mengupas kaedah
pengajaran bahasa ke dua, pengajaran bahasa Arab sebagai bahasa ke dua serta
kaedah-kaedah yang di amalkan dalam pengajaran bahasa Arab seperti kaedah Tradisional,
( Hafalan Terjemahan) , Kaedah Taqlidiah (Tradisional Nahu Terjemahan), Kaedah
Samiyyat al Syafawiyyah( Dengar-Tutur) dan kaedah Eklektik Sistematik. Selain
itu bab ini juga akan mendatangkan teori yang penting mendasari kajian ini dan
mengenengahkan kajian-kajian lepas berkaitan tajuk kajian.
2.2 Kurikulum Bahasa Arab Komunikasi Sekolah Rendah
Kesinambungan dari tahun 1997,pada tahun 2003, Kementerian
Pendidikan Malaysia melalui surat pekeliling ikhtisas bil 8/2002, no rujukan :
KP (BS) 8591/Jld. XIV/(9) mengarahkan supaya bahasa Arab komunikasi sekolah
rendah dilaksanakan sepenuhnya. Namun begitu, pada peringkat awal sekolah yang
telah melaksanakan bahasa Arab komunikasi pada tahun 1998 sahaja dibenarkan
membuka kelas bahasa arab untuk murid-murid tahun satu. Sehingga tahun disember
2003 seramai 57542 orang murid tahun satu di 907 buah sekolah telah mempelajari
bahasa Arab komunikasi.
Dalam akta
pendidikan 1990 dinyatakan dengan jelas bahawa bahasa arab adalah berstatus
bahasa asing. Seksyen 2. (d) di mana
kemudahan bagi pengajaran-
iii. bahasa arab jepun jerman atau perancis atau mana-mana bahasa
asing lain boleh diadakan jika munasabah dan praktik berbuat demikian;
Sukatan pelajaran
bahasa Arab komunikasi disediakan untuk enam tahun persekolahan dan masa yang diperuntukan
adalah 60 minit dalam seminggu. Huraian sukatan merangkumi kemahiran berbahasa
( a)mendengar (b) membaca (c) menulis (d)bertutur.
Antara objektif mata pelajaran bahasa arab komunikasi di sekolah
rendah ialah:
a.
Mendengar dan memahami sebutan huruf, perkataan, ayat serta
petikan;
b.
Menyebut huruf dan perkataan dengan sebutan yang betul;
c.
Bertutur dan memahami bahasa arab dengan tema-tema yang tertentu;
d.
Membaca dengan betul dan memahami perkataan,ayat serta petikan;
e.
Menulis dengan betul dan memahami huruf, perkataan dan ayat dan
petikan;
f.
Mengetahui asas tatabahasa Arab;
g.
Menggunakan bahasa Arab fushah yang mengandungi perbendaharaaan
kata, struktur; tulisan, dan sebutan serata kaedah morfologi dan sintaksis
semasa mendengar, bertutur , membaca dan menulis;
h.
Menghafal mahfuzat terpilih serta asas morfologi dan
memperdengarkannya;
i.
Menghayati dan mengamalkan nilai murni, sikap positif, semangat
patriotik dan kewarganegaraan.
(Bahagian Pendidikan Islam Moral 2007)
2.3 Pembelajaran Bahasa
Arab Sebagai Bahasa ke Dua/ Bahasa Asing
Status pembelajaran bahasa Arab sebagai bahasa asing telah jelas
dinyatakan di dalam Akta Pendidikan 1996. Di sekolah rendah, pembelajaran
bahasa arab telah bermula sejak tahun 1997 sehingga kini. Selain dari bahasa
ibunda, iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Arab ini menjadi bahasa
kedua atau juga bahasa asing.
Para pakar
pendidikan bahasa Arab secara umumnya berpendapat bahawa pembelajaran bahasa
Arab sebagai bahasa asing atau bahasa ketiga hendaklah bermula dengan
pembelajaran kemahiran mendengar, bertutur, membaca, dan menulis sebelum
pengetahuan tatabahasa. Antaranya ialah al Sini Mahmud Ismail , Nasif Mustafa
dan Mukhtar al Tahir (2006). Kajian mengenai pembelajaran bahasa Arab sebagai
bahasa asing telah berkembang pesatnya pada akhir abad ke-20 Masihi (Abdul
Razak, 2004)
Hasil kajian Dulay
, Burt dab Krashen (1982) mencadangkan bahawa arahan dalam isi kandungan mata
pelajran lain di sekolah rendah perlu disepadukan ke dalam kurikulum bahasa
asing untuk menjadikan pembelajaran lebih menyeluruh. Oleh itu integrasi dalam
pengajaran dan pembelajaran adalah sangat penting, kerana ia dapat meningkatkan
kemahiran murid dalam pembacaan, penulisan
dan pemikiran merentasi kurikulum, arahan bahasa dan juga termasuk
kemahiran pemikiran kritikal seperti analisis, sintesis, dan penilaian dalam
semua bahagian kurikulum.
Kedaan ini telah berlaku dalam
kurikulum pendidikan kita apabila PPSMI di perkenalkan pada tahun 2003 yang
mana bahasa Inggeris telah digunakan dalam matapelajaran sains dan matematik.
Namun kelestarian program PPSMI ini bakal berakhir kerana beberapa unit
operasionalnya kurang berkesan dan masalah pencapaian murid kurang
memberansangkan.
Selain itu, bahasa Arab masih
mengekalkan momentum tersendiri untuk kekal sebagai mata pelajaran pilihan di
sekolah rendah sebagai bahasa ke dua. Memandangkan Islam sebagai agama rasmi
negara, tentulah bahasa Arab ini mendapat tempat yang baik di kalangan
masyarakat Islam umumnya.
2.4 Kaedah Pengajaran Bahasa ke dua
Melihat kepada keperluan penguasaan bahasa ke dua, banyak kaedah
dan teori telah dihasilkan oleh para sarjana bahasa dalam bidang ini. Mereka
mendatangkan kaedah yang berlainan mengikut aliran yang diperjuangkan.
Kewujudan teori pembelajaran behaviorisme, kognitif dan interaksionalis
mencetuskan pertembungan dan pertelingkahan dalam kaedah pengajaran bahasa.
“Teori
Pembelajaran Kod Kognitif” yang dipelopori oleh Chomsky telah memperkenalkan
Teori Nahu Terjemahan (Transformational Grammar). Menurut teori TG setiap yang
dilafazkan menurut rusmus-rumus sesuatu bahasa, mempunyai dua struktur,iaitu
struktur permukaan dan struktur dalaman. Struktur permukaan ialah struktur ayat-ayat
yang kita gemar dengar dan lihat, manakala struktur dalaman ialah struktur ayat
pada peringkat yang abstrak si dalam pemikiran penutur sebelum ayat itu
dilahirkan. Bahagian dalam bahasa berupa proses mental yang dapat mengeluarkan
bahasa tanpa peransangan dari luar dan bahasa sebenarnya adalah hasil dari
pemikiran. Itulah sebabnya dalam pendekatan ini, analisis dilakukan dan
bukannya analogi. Dengan analisis para pelajar menggunakan fikiran mereka untuk
memahami satu-satu hukum tatabahasa. Pengajaran dibuat secara deduktif, iaitu
guru mengajar secara formal tentang satu-satu hukum tatabahasa (Kamarudin 1988
dan Hamizul 2008).
Manakala “Teori
Pembelajaran Behaviorisme Dengar Tutur” dipelopori oleh Bloomfield dan ahli
psikologi yang mendasari teori ini ialah Skinner. Menurut teori ini, bahasa itu
dianggap suatu aktiviti yang diperolehi melalui latihan dan pengulangan hingga
menjadi satu tabiat , dan bahasa itu dalah sesuatu yang hidup dan dengan itu
mestilah dipelajari dalam suasana semulajadinya iaitu bahasa lisan (Kamaruddin
1988). Teori anjuran Skinner ini, meletakkan kebolehan bahasa itu akan berlaku
secara semulajadi sekiranya ransangan yang berkesan berlaku secara
berulang-ulang. Ini kerana sifat semula jadi manusia dan dikurniakan
kelengkapan yang sempurna untuk mempelajari bahasa.
Oleh yang
demikian, kaedah pengajaran atau pemerolehan bahasa asing sangat signifikan
untuk dipraktiskan dalam pengajaran bahasa Arab sekolah rendah berdasarkan
teori-teori yang telah di kaji.
2.5 Kaedah Pengajaran Bahasa Arab Sebagai
Bahasa ke Dua
Pendekatan kaedah pengajaran bahasa
arab di Malaysia telah berubah mengikut perubahan zaman, dan keperluan semasa.
Objektif dan matlamat juga menjadi kayu pengukur kepada sesuatu pelaksanaan kaedah
pengajaran. Secara khususnya, di sekolah rendah matlamat utama ialah kebolehan
komunikasi di samping kemahiran membaca, menulis dan mendengar. Namun begitu,
kaedah-kaedah yang bertepatan dengan tahap murid dan latarbelakang murid menjadi keutamaan bagi pengajar bahasa Arab.
Maimun Aqsha Lubis (1997) dalam kajiannya
mendapati bahawa tiada satu pendekatan yang sesuai digunakan untuk setiap
pelajar dan untuk setiap keadaan. Beliau mendapati setiap pendekatan ada
kelebihan dan kekurangan berbanding pendekatan lain. Antara dapatan beliau
ialah (a) pendekatan tradisional lebih berkesan untuk memahami pembendaharaaan
kata bagi pelajar peringkat permulaan, (b) pendekatan dengar dan tutur lebih
berkesan untuk kemahiran mendengar dan bertuturbagi pelajar peringkat
permulaaan dan pertengahan dan (c) pendekatan langsung lebih berkesan untuk
kemahiran bertutur untuk pelajar peringkat tinggi.
Penyelidikan oleh Abdul Rahman Bin Haji Abu
Bakar (1990) dilaksanakan adalah bertujuan untuk membandingkan keberkesanan dua
kaedah pengajaran ke atas pencapaian pelajaran tatabahasa Arab pelajar-pelajar
di peringkat tingkatan 4. Beliau telah memilih dua kaedah pengajaran iaitu
kaedah deduktif dan kaedah induktif. Secara kesimpulannya, tidak terdapat
perbezaan yang signifikan di antara kesan pengajaran kaedah induktif dengan kesan
pengajaran kaedah deduktif dalam tata bahasa Arab walaupun wujud purata
pencapaian kumpulan kaedah induktif lebih tinggi jika dibandingkan dengan
purata pencapaian kumpulan deduktif. Dengan ini, penyelidik mengatakan bahawa
tiada satu kaedah yang tertentu yang lebih sesuai untuk mengajar semua tajuk
pelajaran tata bahasa, bahkan kaedah deduktif dan kaedah induktif adalah sama
sesuai digunakan untuk mengajar pelajaran tata bahasa Arab
Antara kaedah yang yang terdapat
dalam pengajaan bahasa Arab ialah, kaedah Tradisional ( Terjemahan dan
Hafalan), Kaedah Taqlidiyyah ( Nahu-Terjemahan) Kaedah Samiyyah Syafawiah(
Dengar – Tutur) dan Kaedah Eklektik
Sistematik.
2.5.1 Kaedah
Tradisional ( Terjemahan dan Hafalan)
Kaedah ini merupakan kaedah yang diwarisi secara tradisi. Guru yang
ada sekarang walaupun mengikuti kursus perguruan tetapi mereka masih menggunakan
kaedah tersebut dan kerap kali digunakan di sekolah agama kerajaan negeri
(Mohammad Marwan dan Rosni bin Samah, 2007). Ini kerana mereka yang menjadi
guru bahasa kini mendapat pendidikan
dari era 80an dan 90an yang lebih mementingkan tatabahasa Arab dan hafalan mufrodat untuk menguasai
bahasa. Menurut Rosni Samah ( 2009) gabungan antara terjemahan dengan hafalan
inilah yang memberi kekuatan kepada sistem pengajian pondok dalam melahirkan
pelajarnya yang berkemampuan membaca kitab-kitab turath. Meraka mempunyai
kemahiran yang baik walaupun tidak pernah pergi ke negara-negara Arab. Terdapat
juga kemahiran mereka dalam memahami turath ini mengatasi pelajar-pelajar yang
kembali dari universiti di tanah Arab.
Menurut kaedah
ini, guru akan membaca petikan bahasa
Arab dan menterjemahkan setiap kalimah
ke bahasa Melayu. Begitu juga diperingkat sekolah rendah, ayat yang
dibacakan akan diterjemahkan oleh guru. Seterusnya guru akan memilih kosa kata
yang baru dan mudah untuk dihafal oleh murid-murid. Proses yang berlaku secara
berulang-ulang akan menguatkan lagi ingatan murid kepada kosa kata yang dibaca.
Apabila murid memahami maksud kosa kata mereka akan berupaya menggunakannya
dalam pertuturan atau penulisan.
2.5.2
Kaedah Taqlidiyyah ( Tradisional Nahu-
Terjemahan)
Pengajaran dalan kaedah ini dimulakan dengan latihan kemahiran
membaca , kemudian melibatkan semua kemahiran yang lain sepeti kemahiran bertutur
, membaca dan menulis. Pengajaran nahu (tatabahasa) pula disampaikan secara
deduktif iaitu dengan menerangkan definisi (takrif) satu-satu Qawaid dengan
terperinci terlebih dahulu kemudian diteruskan dengan menerangkan contoh-contoh
yang berkenaan dengannya. Takrif kaedah ini akan di suruh hafazkan oleh guru.
Ketika mengajarkan teks bacaan samada bentuk perbualan ataupun rancangan
diadakan terjemahan ke dalam bahasa ibunda( bahasa melayu) dan pengajaran
melalui kaedah ini tidak menggunakan alat pendang dengar (audio-visual). Kaedah
ini mementingkan kepada tatabahasa dalam mengajar teks bacaan.
Diperingkat sekolah rendah, tahap sukatan bagi nahw atau tatabahasa
arab adalah yang paling rendah. Contohnya pengenalan isim, fe’el dan harf di
peringkat awal dengan menyatakan tanda-tanda untuk mengenali isim, fe’el dan
harf dalam tulisan. Seterusnya hingga ke tahap mengenal dhomir atau ganti nama
atau pelaku bagi setiap fe’el.
2.5.3
Kaedah Samiyyat al Syafawiyyah ( Dengar
-Tutur)
Pengajaran dimulakan dengan latihan kefahaman mendengar kemudian
melibatkan semua kemahiran yang lain seperti kemahiran bertutur, kemahiran
membaca dan kemahiran menulis. Pengajaran nahw (tatabahasa) disampaikan secara
nahw praktik iaitu mengajarkan nahu secara tidak langsung atau memahirkan
kemahiran-kemahiran bahasa dengan tidak mengupas takrif ( definisi)
tatabahasanya satu persatu. Walau bagaimanapun setiap pengajaran bahasa dalam
keempat-empat kemahiran diajarkan dengan praktikal tatabahasa yang betul. Dalam
mengajarkan teks bacaan pula samada bentuk perbualan ataupun rancangan tidak
diadakan terjemahan ke dalam bahasa ibunda (bahasa Melayu) , dan kaedah ini
menggunakan alat pandang dengar (audio-visual).
Kaedah ini, tidak
melibatkan terjemahan unit-unit kosa kata satu persatu, tetapi guru menunjukkan
maksud dengan mendatangkan imaginasi atau mempamerkan kepada murid. Contohya
mendatangkan gambar haiwan, perlakuan dan sebagainya.
2.6.4
Kaedah Elektik Sistematik
Kaedah ini ialah gabungan di antara kebaikan kaedah Taqlidyyah dan
kebaikan kaedah Samiyyah al- Syafawiyyah. Ia dibuat berdasarkan hasil keputusan
kajian peringkat sarjana pendidikan UKM( Maimun Aqsha 1991). Melalui kaedah
ini, pengajaran dimulakan dengan gabungan antara kemahiran mendengar dengan
kemahiran membaca, ia juga melibatkan semua kemahiran yang lain seperti
kemahiran bertutur, kemahiran membaca dan kemahiran menulis. Pengajaran nahw
(tatabahasa) menerusi kaedah ini, disampaikan secara induktif, iaitu dengan
menampilkan ayat-ayat (jumlah) dengan bahasa arab kepada pelajar serta
melatihkan ayat-tersebut dalam kemahiran bahasa seperti kemahiran bertutur,
kemahiran membaca dan memahami. Sementara ayat-ayat ini, adalah merupakan
contoh-contoh dalam satu-satu pengkaedahan bahasa Arab, sehingga samapi kepada
definisi takrif kaedah tersebut. Cara induktif ini berlawanan dengan cara
deduktif pada kaedah Taqlidiyyah /Tradisional. Takrif kaedah ini tidak sampai
disuruh hafazkan oleh guru, namun disuruh di fahamkan dengan baik dengan cara
mengulang keterangannya beberapa kali sambil mengaitkannya semua dengan contoh
yang diberikan. Dalam mengajarkan teks bacaan samada dalam bentuk perbualan
ataupun petikan karangan, terjemahan ke dalam bahasa ibunda dibuat jika
amatdiperlukan dan dalam setiap pengajaran menerusi kaedah ini digunakan alat
pandang dengar (audio-visual).
BAB 3
METODOLOGI KAJIAN
3.1 Pendahuluan
Bab ini akan membincangkan mengenai metodologi kajian. Perbincangan
ini meliputi reka bentuk kajian, populasi dan sampel kajian, lokasi kajian, instrumen
kajian, tatacara pemerolehan data dan seterusnya tatacara penganalisisan data.
3.2 Reka Bentuk Kajian
Reka bentuk kajian yang dijalankan ini berasaskan kepada :
a)
Statistik diskriptif digunakan dalam kajian ini melalui fakta-fakta
yang diperoleh daripada kajian kes dan tinjauan sampel. Tinjauan sampel
merangkumi aspek latarbelakang responden, pendidikan yang diperoleh, kaedah
pengajaran yang biasa digunakan, faktor yang mempengaruhi minat murid dalam
pembelajaran bahasa Arab.
b)
Kajian dihuraikan dalam bentuk statistik iaitu merujuk kepada
kaedah menganalisis data untuk mengkaji kaitan-kaitan yang wujud dan menyelidik
makna yang terkandung di dalam kumpulan data.
c)
Kaedah observasi iaitu pemerhatian dan tinjauan juga digunakan
untuk mendapatkan data-data dan fakta daripada tenaga pengajar dan murid untuk
mengenalpasti pendekatam kaedah pengajaran bahasa Arab yang bersesuai dan
bertepatan dengan matlamat pengajaran bahasa Arab di Malaysia.
3.3 Sampel Kajian
Seramai 10 orang guru dan 50 orang murid tahun 5 terlibat dalam kajian ini. Mereka
terditi daripada guru yang berwibawa dalam pengajaran bahasa Arab dan murid
yang sedang belajar di tiga buah sekolah di daerah Petaling Perdana. Sekolah kebangsaan yang
terlibat iaitu SK. Seksyen 27 (1) Shah Alam, SK. Seksyen 18 dan Sk. Taman Alam
Megah. Pemilihan sampel adalah secara rawak mengikut tahap penguasaan murid
dalam pembelajaran bahasa Arab.
3.4 Instrumen Kajian
Instrumen yang digunakan berbentuk soal selidik iaitu set soalan
bagi mendapatkan maklumat responden. Dua set borang soalan diedarkan kepada
responden iaitu guru dan murid. Set borang soalan tersebut dibahagikan kepada
dua bahagian iaitu bahagian A untuk biodata diri dan bahagian B untuk
matapelajaran bahasa Arab.
3.4.1 Pembinaan Instrumen
Kajian
Instrumen kajian ini dibahagikan kepada dua iaitu:
a)
Item A untuk murid. Ia meliputi latarbelakang murid dan tahap
akademik ibu bapa murid
Segala data tahap pendidikan ibu bapa perlu dinyatakan baagi
mempengaruhi jawapan-jawapan yang dikumpulkan dalam bahagian B.
b)
Item A untuk guru. Ia meliputi latarbelakang, tahap akademik dan
pengkhususannya, tempoh responden mengajar mata pelajaran bahasa Arab dan tahun
yang diajar. Selain itu kaedah yang lazimnya digunakan dalam pengajaran bahasa
Arab.
c)
Bahagian B untuk murid
meliputi 36 item yang mewakili 4 pembolehubah. 4 item mewakili
latabelakang ibu bapa, 10 item mewakili sikap dan minat murid, 12 item mewakili
pengajaran dan pembelajaran, 10 item mewakili keadaan iklim sekolah. Terdapat
10 item dinyatakan dalam penyataan negatif.
d)
Bahagian B untuk guru meliputi 36 item yang mewakili 4
pembolehubah. 4 item mewakili Latar Belakang, 10 item mewakili akademik dan
pengalaman mengajar, 12 item mewakili kaedah pengajaran bahasa Arab dan 10 item
minat dan sikap murid terhadap pembelajaran bahasa Arab.
3.5 TATACARA PEMEROLEHAN
DATA
Tatacara pemerolehan data membincangkan tentang bagaimana subjek
kajian dipilih, data kaedah pengajaran yang bersesuai diambil daripada skor
ujian yang dijalankan.
3.5.1 Subjek Kajian
Kajian dijalankan di tiga buah sekolah di daerah Petalin perdana
iaitu SK. Sekyen 27 (1), SK. Seksyen 18 dan SK. Taman Alam Megah. Kajian ini
melibatkan 50 orang murid yang sedang mengikuti pembelajaran bahasa Arab dan 10
orang guru yang berpengalaman dalam pengajaran bahasa Arab.
3.5.2 Ujian Pra
Semua murid dari tiga sekolah ini dikehendaki menduduki ujian
pencapaian yang bagi melihat tahap pencapaian murid dalam pembelajaran bahasa
Arab. Pengkaji juga menyediakan ujian pencapaian bagi guru untuk melihat kaedah
pengajaran yang seringkali digunakan oleh tenaga pengajar.
3.5.3 Temubual
Temu bual berstruktur dijalamkan kepada guru-guru yang mengajar
bahasa Arab dan beberapa orang murid yang dipilih untuk mendapatkan maklumat
sokongan selanjutnya tentang pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab Komunikasi
di sekolah rendah. Seterusnya, skor ujian pra dan temubual akan dikumpulkan
untuk dianalisis oleh pengkaji.
3.6 TATACARA
PENGANALISAAN DATA
Data-data yang bersifat kuantitatif daripada soal selidik, ujian
pra dan temubual dianalisis dengan menggunakan sisitem perisai Statistical
Packages for Social Science (SPSS) Windows Release 14.0.
3.6.1 Data Kuantitatif
Data kuantitatif terdiri daripada data-data mengenai profil murid,
skor likert murid dalam soal selidik tentang latarbelakang murid, minat dan
sikap murid terhadap pembelajaran bahasa Arab, skor tahap pengurusan kelas yang
kondusif. Selain itu skor likert guru dalam soal selidik tentang tahap akademik
dan pengalaman dalam pengajaran bahasa Arab, skor tahap kaedah pengajaran yang
digunakan semasa pengajaran berlangsung.
3.6.2 Data Kualitatif
Data kualitatif terdiri daripada data-data mengenai skrip jawapan
hasil temubual yang dijalankan ke atas guru dan murid yang terlibat dalam
kajian ini. Data-data ini dianalisis secara manual berdasarkan pengkelasan
tentang tahap pencapaian murid dalam kelas dan kaedah pengajaran guru dalam
perlaksaan bahasa Arab Komunikasi. Hasil temubuaj ini dianalisis berdasarkan
soalan-soalan yang dikemukan secara sesi temubual. Soalan temubual dibuat
secara berstruktur bagi memudahkan catatan dan responden menjawab mengikut
kehendak soalan. Hasilnya dirumus kepada beberap aspek berkaiatan soalan
temubual dan dihuraikan dengan lebih berfokus.
salam, maaf bertanya, rujukan nya dpt dr mana ye? lebih seronok jika disertakan sekali di akhir kajian. terima kasih
ReplyDelete