Pages

Saturday 8 February 2014

PENGAJARAN BAHASA ARAB MELALUI NYANYIAN DI SEKOLAH RENDAH

PENGAJARAN BAHASA ARAB MELALUI NYANYIAN DI SEKOLAH RENDAH


Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia

ABSTRAK
Kertas ini bertujuan untuk membincangkan pengajaran bahasa Arab melalui nyanyian dan faedah yang diperoleh daripada mengaplikasikan teknik ini dalam kelas bahasa Arab di sekolah rendah. Pengajaran bahasa Arab berteraskan kepada kemahiran berbahasa iaitu kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Realiti pendidikan sekolah rendah di Malaysia,  bahasa Arab diajar sebagai bahasa kedua. Oleh itu terdapat halangan yang dihadapi oleh para guru untuk menyampaikan pengajaran sebagaimana sukar untuk  memastikan murid menguasai kemahiran berbahasa. Antara kelemahan murid dalam bahasa Arab ialah kekurangan kosa kata yang menyebabkan murid tidak bertutur dalam bahasa ini. Teknik nyanyian dipercayai dapat membantu guru mengajar kemahiran bertutur dan menambahkan penguasaan kosa kata yang merupakan teras penting kepada penguasaan pertuturan dalam kalangan murid. Perbahasan tentang hukum menyanyi dalam Islam juga dinyatakan sebagai pedoman. Seterusnya kertas ini akan memberikan beberapa cadangan untuk melaksana dan menjayakan pengajaran bahasa Arab melalui nyanyian di sekolah rendah. 

PENDAHULUAN
Bahasa Arab adalah antara enam bahasa antarabangsa yang penting dengan  merujuk kepada penggunaan bahasa ini sebagai salah satu bahasa dalam persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Penutur asli bahasa Arab di seluruh dunia meliputi 23 buah negara. Bilangan penutur bahasa Arab dipercayai lebih ramai lagi apabila mengambil kira penutur bahasa Arab di negara-negara bukan Arab yang majoriti rakyatnya beragama Islam. Hal  ini demikian kerana pertautan yang kuat dan utuh antara bahasa Arab dan agama Islam (Maimun Aqsa Lubis 2009).
Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah  (KBSR) pula meletakkan status bahasa Arab sebagai mata pelajaran tambahan dan diajar di sekolah-sekolah bermula tahun 1997 melalui projek rintis di 97 buah sekolah terpilih (Arman 2008). Pelaksanaannya berlangsung setahun selepas itu berdasarkan Surat Pekeliling Ikhtisas, KPM Bil.9 Tahun 1998. Mata pelajaran Bahasa Arab di sekolah rendah telah mengalami beberapa perubahan semenjak diperkenalkan pada tahun 1997. Mata pelajaran ini melalui fasa semakan kurikulum pada tahun 2001.  Nama mata pelajaran ini ditukar daripada Bahasa Arab Komunikasi kepada Bahasa Arab pada tahun 2005, di samping terlibat dalam Model Peluasan Bahasa Arab dalam program j-QAF  (Surat Pekeliling Ikhtisas, KPM Bil. 3 Tahun 2004).  Model Peluasan Bahasa Arab menyebabkan lebih banyak sekolah menawarkan bahasa Arab kepada murid-muridnya. Direkodkan seramai 1,546,244 orang murid  tahun 1 hingga tahun 6 di seluruh negara telah mengambil mata pelajaran ini pada tahun 2010 (Bahagian Pembangunan Kurikulum, 2010).
Manakala dalam perkembangan terbaru, Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang dilaksanakan bermula 2011 meletakkan Bahasa Arab dalam kelompok modul elektif bersama Bahasa Cina Sekolah Kebangsaan, Bahasa Tamil Sekolah Kebangsaan, Bahasa Iban dan Bahasa Kadazandusun. Masa diperuntukkan untuk modul elektif ialah 3 masa atau 90 minit seminggu (Surat Pekeliling Ikhtisas, KPM Bil. 11 Tahun 2010). Perubahan seumpama ini juga merubah landskap pendidikan negara apabila bahasa Arab kini tidak dipelajari oleh murid Melayu Islam sahaja tetapi juga dipelajari oleh murid bukan  Islam. Fenomena ini juga akan melahirkan generasi baru masyarakat multilingual yang mengisi keperluan era globalisasi. Malah, kemahiran komunikasi adalah antara keperluan penting dalam pada abad 21 (Partnership for 21st Century Skills 2010)

MATLAMAT DAN OBJEKTIF BAHASA ARAB SEKOLAH RENDAH
Matlamat mata pelajaran Bahasa Arab ialah menumpukan kepada penguasaan murid terhadap asas kemahiran berbahasa iaitu kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Kemahiran asas berbahasa ini akan membolehkan mereka berkomunikasi menggunakan ayat mudah (Bahagian Pembangunan Kurikulum, 2010). Matlamat ini disokong dengan objektif seperti berikut, (a) mendengar sebutan huruf hijaiah, perkataan, ayat dan petikan, (b) menyebut huruf dan perkataan dengan sebutan yang betul, (c) bertutur dalam tema-tema yang tertentu, (d) membaca perkataan, ayat dan petikan dengan betul (e) menulis huruf, perkataan, ayat dan petikan dengan betul, (f) mengaplikasikan asas tatabahasa Arab, (g) menghafaz alhikam wal amthal (peribahasa) terpilih dan memperdengarkannya, (h) menggunakan bahasa Arab Fusha (baku) dalam penulisan dan pertuturan, dan (i) mengaplikasi nilai-nilai yang unggul serta tingkah laku positif untuk berbakti kepada agama, bangsa dan negara.
Kedudukan dan pelaksanaan bahasa Arab di Malaysia telah menunjukkan bahawa mata pelajaran ini merupakan mata pelajaran yang mendapat perhatian masyarakat dan kerajaan. Hal ini demikian kerana bahasa Arab mempunyai hubungan dengan agama Islam yang juga merupakan anutan sebahagian besar warganegara Malaysia (Maimun Aqsha 2009).
Murid di sekolah rendah yang berusia 12 tahun ke bawah lazimnya tidak mendapat pendedahan yang luas dengan bahasa asing seperti bahasa Arab, Perancis, Jepun dan sebagainya. Mereka biasa mendengar bahasa Cina dan  Tamil kerana sinonimnya bahasa tersebut dengan latar budaya kaum di Malaysia. Mereka juga biasa dengan bahasa Inggeris kerana penggunaan meluas di media massa dalam negara. Dalam konteks bahasa Arab, murid hanya mempelajari bahasa ini di sekolah, mendengar daripada rancangan radio atau membaca daripada bahan bacaan yang sangat kurang bilangannya. Banyak kajian menunjukkan persekitaran sangat penting  dalam pembelajaran bahasa (Zamri et all 2010). Persekitaran  dapat dibentuk apabila murid diberi peluang untuk mempersembahkan kemahiran bahasa sama ada dalam bentuk pertuturan mahu pun penulisan.
Pendekatan Kementerian Pelajaran Malaysia yang menekankan Seni Bahasa dalam KSSR bermula tahun 2011 (BPK 2010) amatlah wajar dalam pembentukan suasana persekitaran berbahasa. Dokumen Standard Kurikulum Bahasa Arab (BPK 2010) telah menyenaraikan nyanyian sebagai salah satu daripada pendekatan seni bahasa kepada murid sekolah rendah. Kehendak kurikulum ini juga telah dijelmakan dalam buku teks bahasa Arab tahun 1. Setiap unit pembelajaran dalam buku teks ada dicadangkan lagu yang selari dengan kurikulum dan tema pembelajaran (Rijaluddin et all 2010).
Jelas bahawa pengajaran bahasa Arab melalui nyanyian sangat signifikan untuk diaplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah rendah. Strategi dan teknik yang betul adalah penting untuk menghasilkan impak positif daripada nyanyian. Impak positif  ini akan menambah minat dan kecenderungan murid kepada pembelajaran bahasa Arab sehingga mereka menguasai kesusasteraan dan keindahan bahasa Arab di peringkat pembelajaran yang lebih tinggi.

PENGAJARAN BAHASA ARAB SEBAGAI BAHASA KEDUA
Pengajaran bermaksud perihal mengajar, segala sesuatu yang berkaitan dengan mengajar seperti cara atau sistem mengajar, aspek yang dipentingkan dan lain-lain (Kamus Dewan Edisi Ketiga). Pengajaran adalah satu perkara penting dalam pendidikan. Ia bertujuan menyalurkan maklumat dan pengetahuan serta nilai kepada murid. Atan Long (1982) melalui Abd Ghafar Md. Din (2003) menyatakan terdapat beberapa prinsip pengajaran yang perlu diberi perhatian oleh guru iaitu:
i.                    Merancang pelajaran
ii.                  Menggunakan pelbagai teknik dan kaedah pengajaran
iii.                Melibatkan pelajar secara aktif
iv.                Mengambil kira perbezaan individu
v.                  Mengaitkan isi pelajaran dengan pengetahuan dan pengalaman murid
vi.                Merangsang fikiran pelajar.

Pengajaran bahasa Arab untuk murid di Malaysia adalah dalam kalangan murid yang bukan penutur jati bahasa Arab. Hal ini  membawa kepada persoalan tentang sejauh mana keberkesanan pengajaran guru dan tahap pencapaian murid terhadap kemahiran berbahasa yang dipelajari di sekolah. Mohamad Awang (1996) mengatakan tahap penguasaan kosa kata di kalangan murid sekolah menengah masih di tahap yang memuaskan. Begitu juga kajian yang dilakukan oleh Tarmizi Ahmad (1997) terhadap pengajaran kemahiran bertutur mengatakan  antara masalah yang dihadapi oleh responden ialah perbendaharaan kata yang sedikit. Ini bermaksud murid yang banyak mengetahui kosa kata bahasa Arab lebih mudah menguasai kemahiran berbahasa.
Pengajaran bahasa kedua berbeza dengan pengajaran bahasa ibunda. Kosa kata adalah aspek penting dalam penguasaan bahasa. Aspek ini dapat dipertingkatkan  melalui penguasaan kemahiran bertutur (Rosni 2009). Namun timbul masalah apabila murid perlu memiliki sejumlah perkataan yang difahami atau dihafal sebelum menguasai kemahiran bertutur. Pengkaji berpendapat di sinilah fungsi nyanyian perlu ditonjolkan. Kajian Jalongo, M. & Bromley, K. (1984) dan Martin, M. (1983) menunjukkan bahawa nyanyian berupaya membantu murid untuk memperoleh kosa kata, memperbaiki ejaan dan seterusnya meningkatkan kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Nyanyian mampu menarik perhatian murid. Murid akan memberi perhatian kepada pengajaran guru dan murid lebih bersedia menerima pengajaran bahasa ibunda. yang menggunakan teknik nyanyian.    
Hal ini demikian kerana bahasa ibunda diperoleh melalui pemerolehan, manakala bahasa kedua diperoleh melalui pembelajaran (Kamaruddin 1998). Terdapat empat teori pembelajaran bahasa iaitu Teori Behaviourisme yang dipelopori oleh Skinner, Teori Mentalis oleh Chomsky, Teori Interaksionalis oleh Halliday dan Teori Kognitif oleh Jean Piegat. Teori yang dinyatakan ini amat penting dalam pengajaran bahasa kedua dan dalam masa yang sama teknik dan pendekatan yang sesuai akan menjamin objektif pengajaran dan pembelajaran tercapai.
APLIKASI NYANYIAN DALAM PENGAJARAN
Pelbagai teknik dan pendekatan yang diambil bagi memastikan murid menguasai kosa kata bahasa yang dipelajari. Antara cara yang digunakan oleh guru bahasa Arab ialah dengan teknik menyanyikan lagu. Nyanyian adalah satu seni yang mampu menarik perhatian pendengarnya dan dalam konteks sekolah, murid akan lebih tertarik dengan pengajaran guru yang menggunakan teknik nyanyian dalam pengajaran. Murid di sekolah terdiri daripada pelbagai latar belakang dan kecerdasan (Mok Soon Sang 2001). Kecenderungan murid dalam pelajaran pula bergantung pada minat mereka di samping kesesuaian strategi guru menyampaikan pelajaran.
Teori kecerdasan pelbagai yang dipelopori oleh Howard Gardner (1993) menyenaraikan lapan jenis kecerdasan dan antaranya ialah kecerdasan linguistik dan kecerdasan muzik. Kecerdasan linguistik bermaksud kecerdasan membaca, menggunakan perbendaharaan kata, tulisan kreatif, puisi, perbahasan, berjenaka dan bercerita. Teknik nyanyian akan merangsang murid menggunakan perbendaharaan kata dan aktiviti ini adalah respons yang mengambil kira kecerdasan ini wujud dalam kalangan murid di sekolah. Kecerdasan lain yang mempunyai hubungan terus dengan aktiviti nyanyian ialah kecerdasan muzik. Ia bermaksud kecerdasan yang meliputi kecekapan mengenal pasti bunyi vokal, bunyi alam sekitar dan menyanyi serta mencipta lagu, kepekaan terhadap ritma dan melodi muzik. Guru yang berjaya mengaplikasikan teknik nyanyian dalam pengajaran dan pembelajaran akan meraih impak positif iaitu kemampuan murid memperoleh kosa kata dan sekali gus mampu bertutur.
Abd Razak (t.th) berpendapat, bahawa lagu kanak-kanak adalah satu aspek yang menggambarkan seni ekspresi kreatif yang disusun bahasanya sebagai bukti irama atau muzik itu mempunyai kesan yang ketara dalam perkembangan kanak-kanak, menonjolkan perasaan dan membantu menyalurkan perasaan. Antara contoh yang dekat dan boleh kita dapati ialah , mereka akan menangis apabila lapar atau sakit. Tangisan yang berirama dan perubahan bentuk tangisan dari perlahan kepada bunyi yang lebih kuat, mendayu, teresak-esak atau hanya menangis dengan hanya menahan sebak adalah antara elemen yang menunjukkan bahawa adanya kehendak untuk menonjolkan perasaan dengan perkaitan irama tertentu. Oleh yang demikian, tidak hairanlah, jika seorang ibu memarahi anaknya dengan nada yang keras anak akan menangis. Berlainan pula  dengan nada pujukan, akan membuatkan mereka tenang dan nada gembira akan menjadikan emosi mereka juga bahagia. Di sinilah dilihat betapa dekatnya irama dalam diri manusia.

JENIS NYANYIAN DAN KRITERIA PEMILIHAN LAGU
Nyanyian mempunyai banyak jenis yang dibahagi mengikut matlamatnya (Nayef Salman et all 2003) iaitu: (a) nyanyian untuk pengukuhan, (b) nyanyian untuk matlamat sosial, (c) nyanyian untuk matlamat pengajaran tingkah laku baik, (d) nyanyian untuk menyemai semangat patriotisme dan kenegaraan, (e) nyanyian berkaitan dengan pengajaran agama, (f) nyanyian untuk tujuan visualisasi situasi atau pemandangan dan, (g) nyanyian untuk tujuan mengajuk bunyi benda hidup atau peralatan.

Pemilihan lagu bagi tujuan nyanyian kepada murid atau kanak-kanak haruslah mengambil kira perkara seperti berikut (Salwa Yusof  2003):
i.        Menggunakan kosa kata yang berpadanan dengan tahap bahasa dan kognitif murid
ii.                  Lirik lagu menggunakan bahasa fusha
iii.                Isi kandungan lagu dekat dengan kehidupan murid
iv.                Lagu yang dipilih cenderung kepada pergerakan dan suasana ceria
v.                  Memberi nilai yang baik untuk murid amalkan
vi.                Irama yang mudah untuk diikuti
vii.              Mengambil kira penggunaan pancaindera murid.
Membincangkan perkara yang sama, Fatimah Jamal (2006) menyenaraikan tips bagi pemilihan lagu iaitu (a) lagu yang ditulis dengan bahasa standard, (b) lirik lagu yang ringkas, (c) lagu yang tidak terlalu panjang, dan (d) suara penyanyi mestilah jelas. Guru dalam masa yang sama hendaklah mengelakkan diri daripada memilih lagu yang berirama laju, lagu yang menenggelamkan suara penyanyi dan lagu yang tidak berkait dengan tajuk pengajaran (Fatimah Jamal 2006).
FAEDAH NYANYIAN
Nyanyian jika dipilih sebagai satu teknik pembelajaran di kalangan kanak-kanak mempunyai banyak faedah sebagaimana berikut (Salwa Yusof 2003):
i.                    Menambah kosa kata dan ayat yang boleh memperbaik kemahiran bahasa.
ii.                  Menyemai penghayatan sastera.
iii.                Menyemat rasa gembira dalam jiwa kanak-kanak
iv.                Mengikis sikap malu dan penyakit gagap
v.                  Mencungkil bakat dan menyemai sikap kreatif
vi.                Memperoleh sikap mulia dan tingkah laku positif
vii.              Memperkukuh semangat patriotisme dan kemanusiaan dalam jiwa
viii.            Menyuburkan perkembangan intelek, emosi dan sosial
ix.                Melatih kemahiran mendengar dan memperbetul sebutan makhraj huruf
x.                  Memperbaik kekuatan ingatan

Menerusi faedah yang disenaraikan ini, pengkaji berpendapat teknik nyanyian boleh menyumbang kepada penyelesaian masalah kekurangan kosa kata di kalangan murid yang mempelajari bahasa Arab.
Medina (1993) telah melakukan kajian tahap penguasaan kosa kata melalui aplikasi nyanyian dan penggunaan ilustrasi dalam kalangan murid . Murid daripada kumpulan pertama diajarkan sebuah cerita melalui nyanyian dan murid kumpulan kedua tidak diajarkan cerita melalui nyanyian. Dapatan kajian beliau mendapati kumpulan pertama dan kedua mencapai penguasaan kosa kata yang sama apabila kumpulan pertama mendengar cerita melalui nyanyian dan kumpulan kedua mendengar cerita bukan melalui nyanyian. Dapatan seterusnya, murid yang menyanyikan cerita memperoleh lebih banyak kosa kata berbanding murid yang membaca sahaja.
Pemboleh ubah kedua yang digunakan oleh Medina ialah kumpulan pertama dibantu pembelajaran dengan ilustrasi bagi menerangkan kosa kata yang diajar manakala kumpulan kedua tanpa ilustrasi. Dapatan kajian menunjukkan murid yang mendengar cerita berbantukan ilustrasi lebih tinggi penguasaan kosa katanya berbanding kumpulan kedua yang tidak dibantu dengan ilustrasi. Medina menyatakan guru yang melaksanakan pengajarannya dengan teknik nyanyian dan berbantukan ilustrasi akan membolehkan murid menguasai kosa kata dengan lebih banyak lagi (Medina 2002).
HUKUM NYANYIAN DALAM ISLAM
Perbahasan berkaitan hukum nyanyian bukanlah sesuatu yang baru dalam tradisi keilmuan Islam. Isu ini timbul sejak dahulu lagi kerana terdapat hadis Rasulullah S.A.W yang mendasari dalil keharusan nyanyian dan dalam hadis lain berupa larangan nyanyian. Justeru, melalui disiplin ilmu Islam, para alim ulama’ ada membincangkan tentang hukum nyanyian sama ada dibolehkan atau tidak.
            Dalil kepada pengharaman  adalah hadis yang direkodkan oleh al-Imam al-Bukhari. Hadis tersebut diriwayatkan oleh Abd Rahman bin Ghunm, katanya Abu ‘Amir atau Abu Malik al-Asyari menceritakan kepada saya, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda,
“Sungguh akan terjadi satu kaum dari umatku yang menghalalkan zina, kain sutera, arak dan alat-alat permainan muzik”.[1]
Seterusnya hadis direkodkan oleh al Suyuti ertinya: Daripada Abdullah bin Mas’ud berkata, Rasulullah SAW bersabda,
“ Nyanyian menyebabkan nifaq (zahir Islam di hati kafir) di hati”.[2]
Manakala hadis yang diguna pakai oleh para ulama’ bagi menunjukkan keharusan nyanyian ialah hadis yang direkodkan oleh al-Imam al-Bukhari, al-Imam al- Termizi dan Ibnu Majah serta lain daripada mereka ertinya: Daripada Rubai’i binti Mu’awwiz bin Afra’, katanya: Rasulullah SAW datang masuk ke rumah saya di pesta perkahwinan saya, maka Rasulullah SAW duduk di atas tikar, jarak antara Baginda dengan saya antara engkau dengan saya. Seterusnya beberapa orang jariah kami memukul gendang sambil memuji (secara menyanyi) terhadap orang tua saya yang terkorban dalam peperangan Badar. Salah seorang jariah itu berkata: Di hadapan kita sekarang ada Nabi yang dapat mengetahui esok hari (hal-hal akan datang). Maka Rasulullah SAW bersabda,
“Tinggalkanlah cakap yang sebegitu dan teruskanlah apa yang kamu sebutkan (nyanyikan) tadi”.[3]
Selanjutnya, hadis berikut adalah antara hadis yang menjadi dalil keharusan menyanyi. Daripada ‘Amir bin Saad, katanya: Saya hadir ke rumah Qurazah bin Ka’ab dan Abu Mas’ud al-Ansari untuk majlis perkahwinan. Tiba-tiba beberapa jariah mempersembahkan nyanyian. Maka saya bertanya, “Kamu berdua adalah sahabat Rasulullah SAW dan pejuang dalam perang Badar. Apakah hal yang begini kamu perbuat juga?” Qurazah menjawab, “ Duduklah kalau engkau mahu, mari dengar bersama-sama, kalau tidak silakan pergi. Sesungguhnya telah diperbolehkan bagi kita bermain (menyanyi) dalam majlis perkahwinan.[4]
            Dalam membahaskan isu hukum nyanyian ini, Toha (2002) menyatakan setelah dilihat daripada kehendak hadis dan realiti ketika hadis itu diungkapkan maka jelas bahawa nyanyian mempunyai  kebaikan dan keburukan. Nyanyian itu sendiri bergantung keharamannya atas sebab yang mendatang seperti lirik lucah, suara penyanyi yang menggoda dan apa sahaja yang menyebabkan kelalaian daripada mengingati Allah SWT. Sebab-sebab ini jika berlaku maka nyanyian itu akan dihukumkan haram.
            Nyanyian yang diaplikasi dengan tujuan murni seperti tujuan pendidikan adalah baik dan mendatangkan banyak manfaat sebagaimana yang telah pengkaji nyatakan sebelum ini. Ini dapat diteliti daripada hadis Rasulullah SAW yang tidak melarang nyanyian bagi pesta perkahwinan. Tujuan nyanyian dalam pesta perkahwinan adalah untuk mengisytiharkan perkahwinan kepada khalayak disamping melahirkan kegembiraan. Begitu juga Rasulullah SAW tidak melarang nyanyian yang memuji sahabat Rasulullah SAW yang gugur syahid di Peperangan Badar. Ini bermaksud selagi tujuan nyanyian itu baik dan tidak melanggar hukum syarak ia dibolehkan.
CADANGAN
Bagi guru yang keberatan untuk menyanyi dalam kelas kerana tidak mahir dalam nyanyian perlulah merekodkan nyanyian tanpa lagu atau berserta lagu dengan bantuan orang lain (Glenda et al 2009). Lagu yang sudah direkodkan boleh dimainkan dalam kelas. Lagu yang dipersembahkan jika dibantu dengan gambar atau video akan menarik perhatian murid berbanding murid sekadar mendengar lagu semata-mata (Salwa 2003). Dengan lain perkataan, deria pendengaran dan penglihatan apabila digunakan secara optimum akan menghasilkan impak positif sekali gus meningkatkan penguasaan kosa kata murid, menajamkan kemahiran bertutur dan meningkatkan minat terhadap mata pelajaran yang dipelajari. 
Ini dilihat selari dengan Maimun Aqsha Lubis (2009) apabila membincangkan fasa pemeringkatan pengajaran bahasa Arab sebagai bahasa kedua iaitu guru perlu membantu murid dalam kemahiran bertutur dengan memaparkan gambar atau menunjukkan benda maujud yang berkaitan pelajaran. Murid dalam peringkat ini perlu mendengar dan mengulang sebutan guru tanpa menulis sesuatu.
Kedua, memperkenalkan pengetahuan pedagogi guru berpengalaman untuk dimanfaatkan oleh guru baru. Ini bermaksud guru pelatih atau guru baru seharusnya didedahkan dengan pengetahuan pedagogi isi kandungan (PPIK) guru berpengalaman sebelum menamatkan pengajian mereka di institut latihan. Hal ini jika dapat dilaksanakan akan memberikan idea, mematangkan pemikiran bakal guru sebelum mereka menceburi alam keguruan sebenar. Pengkaji berpendapat perkongsian pintar sebegini boleh dilaksanakan dalam bentuk seminar atau kursus jangka pendek sebagaimana disarankan juga oleh Tengku Zawawi (2009) dalam membincangkan aspek pelatihan guru pelatih mata pelajaran Matematik.
Ketiga, pemilihan lagu bagi tujuan pengajaran bahasa mestilah terdiri daripada lagu yang sesuai, bertepatan dengan objektif pelajaran dan mudah untuk dinyanyikan secara solo atau beramai-ramai. Guru memainkan peranan yang penting dalam aspek ini. Kegagalan guru memilih lagu yang sesuai akan menyebabkan objektif pengajaran dan pembelajaran tidak dapat dicapai sepenuhnya.
Keempat, murid mestilah diberi peluang yang secukupnya untuk menyanyikan lagu yang diajar. Semakin banyak peluang diberikan, semakin banyak perkataan dan kemahiran yang dicapai. Peluang untuk menyanyi ini seharusnya melibatkan semua murid secara nyanyian beramai-ramai atau secara berkumpulan.
Kelima, guru mestilah menyanyi bersama-sama murid walaupun lagu yang dinyanyikan adalah rakaman nyanyian. Murid akan mengikut sepenuhnya tingkah laku guru, pertuturan guru dan penyampaian guru dalam aktiviti nyanyian disebabkan aktiviti menyeronokkan ini menarik perhatian murid. Oleh itu, guru sepatutnya mengambil peluang ini menerapkan isi pengajaran dengan bernas seperti melakukan teknik nyanyian berserta mimik muka dan gerakan badan yang sesuai.
Keenam, nyanyian boleh dilakukan di luar masa pembelajaran atau semasa aktiviti kokurikulum. Membataskan aktiviti nyanyian hanya dalam masa pembelajaran akan mengehadkan kreativiti murid dan kebolehan sosial mereka (Gruhn 2005). Oleh itu, guru perlu merancang pengajaran di luar waktu pembelajaran dengan teliti agar impak positif terhadap penguasaan kemahiran bahasa dan peningkatan penguasaan kosa kata tetap diperoleh murid.
Ketujuh, keyakinan dan keinginan guru yang bersungguh-sungguh menyampaikan isi kandungan murid melalui nyanyian perlu ditonjolkan sepanjang aktiviti pembelajaran berlangsung. Keyakinan guru akan memudahkan penerimaan murid terhadap nyanyian dan isi kandungan pelajaran yang ingin disampaikan (Medina 2002).


KESIMPULAN
Nyanyian adalah teknik yang dapat membantu guru menjayakan pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab. Realiti mata pelajaran ini sebagai bahasa asing di Malaysia menuntut kesungguhan guru melaksanakannya demi peningkatan penguasaan murid untuk menguasai  kemahiran bertutur dan kosa kata. Perancangan pengajaran yang teliti adalah penting kerana teknik nyanyian jika tidak dirancang dengan sempurna tidak akan mendatangkan impak positif kepada murid dan guru. Ini bermaksud tiada peningkatan penguasaan kemahiran berbahasa. Guru juga perlulah menonjolkan watak yang ceria, yakin dan bersungguh-sungguh semasa melaksanakan teknik ini dalam kelas mereka. Nyanyian tidak dilarang dalam agama Islam selagi mana nyanyian itu mempunyai ciri nyanyian yang baik meliputi lirik dan cara nyanyian itu dilakukan. Cadangan yang diutarakan adalah cadangan yang penting dan bermakna untuk membantu menjayakan pengajaran dalam kelas mahu pun di luar kelas atau luar waktu pengajaran.
RUJUKAN
Abd Ghafar Md. Din. 2003. Prinsip dan Amalan Pengajaran. Kuala Lumpur: Utusan.
Abdul Razak Mukhtar Mahmud t.th. Aghani wa anasheed al-atfal: ta’rifuha wa wadzaifuha wa khasaisuha. http://www. horoof.com/dirasat/anasheed.htm [10 April 2011].
Arman Md Rusoff. 2008. Hala tuju pengajaran bahasa Arab dalam program j-QAF di Malaysia. Prosiding seminar pengajaran bahasa dan kesusasteraan Arab di institusi pengajian tinggi Malaysia SEBAKA. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Dewan Bahasa dan Pustaka. Kamus Dewan, Edisi ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Fatimah Jamal. 2006. The effectiveness of using song and music in the teaching learning vocabulary in form one classroom. Tesis sarjana muda yang tidak diterbitkan: Open University Malaysia.
 Gardner, H. 1993. Multiple intelligences: The theory in practice. New York: Basic Books.
Glenda Mac Naughton & Gillian Williams. 2009. Teaching young children, choices in theory and practice, 2nd Edition. Glasgow: Open University Press.
Gruhn, W. 2005. Children needs music. International Society for Music Education, 23(2), 99-101.
Hallak Muhammad Subhi. 1423H. Al-Fath al-rabbani min fatawa al-Imam al-Syaukani. San’aa: Maktabah al-Jil al-Jadid.
Jalongo, M. & Bromley, K. 1984.  Developing linguistic competence through song.  Reading Teacher. 37(9), 840-845.
Kamarudin Hj. Husin 1998. Pedagogi Bahasa : Siri Pendidikan Perguruan. Kuala Lumpur : Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Kementerian Pelajaran Malaysia (BPK). 2010. Kurikulum Standard Sekolah Rendah-Bahasa Arab. Bahan tidak diterbitkan. Bahagian Pembangunan Kurikulum.
Kementerian Pelajaran Malaysia (BPK). 2010. Pelaporan j-QAF Tahun 2010. Bahan tidak diterbitkan. Bahagian Pembangunan Kurikulum.
Kementerian Pelajaran Malaysia (BPSH).  Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan  11 Tahun 2010: Pelaksanaan  Kurikulum  Standard  Sekolah  Rendah  (KSSR) Tahap  Satu  mulai  2011. Bahagian Pengurusan Sekolah Harian.
Maimun Aqsa Lubis. 2009. Turuq Tadris Lughatil al-Arabiah Wa I’dadi Durusiha Fi Maliziya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Martin, M. 1983. Success! Teaching spelling with music.  Academic Therapy.
Medina, Suzanne L. 1993. The effect of music on second language vocabulary acquisition. FEES News (National Network for Early Language Learning), 6 (3), 1-8.
Medina, Suzanne L. 2002 Using Music to Enhance Second Language Acquisition: From Theory to Practice. Dlm Lalas, J. & Lee, S. Language, Literacy, and Academic Development for English language Learners. Pearson Educational Publishing.
Mohamad bin Awang. 1996. Kaedah pengajaran bahasa Arab di peringkat sekolah menengah: satu tinjauan tentang sikap dan amalan guru-guru bahasa Arab di sekolah-sekolah menengah agama bantuan. Tesis sarjana yang tidak diterbitkan: Universiti Malaya.
Mok  Soon Sang. 2008. Nota Pengurusan Pengajaran – Pembelajaran Terbitan Kelima. Kuala Lumpur: Multimedia-ES Resources Sdn. Bhd.  
Mubeidin, Salwa Yusof. 2003. Ta’lim al-qiraah wa al-kitabah lil al-atfal. Amman: Dar al-Fikr.
Al-Khatib Muhibbuddin. 1400H. Al-Jami’ al-Sahih  al-Musnad min hadis Rasululillah wa sunanihi wa ayyamihi. Kaherah: al-Maktabah al-Salafiah.
Al-albani Nasiruddin. 1409H. Sahih Sunan al-Nasaei. Maktabah al-Tarbiah al-Arabi li duwal al-Khalij.
Al-hamd Rasyid Abd Aziz. 1409H. Al-kalam ‘ala mas’alah al-sama’. Riyadh: Dar al-‘asimah. 
Rijaluddin, Abd Razak Chik & Suhaina Yusof. 2010. Al Lughah al-Arabiyyah li al-saf al-awwal. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.
Rosni Samah 2009. Pendekatan pembelajaran kemahiran bahasa Arab untuk pelajar bukan penutur jati. Bandar Baru Nilai: Universiti Sains Islam Malaysia.
Salman, Nayef, al-Hamuz, Muhammad & al-Bakri, Amal. 2003. Asalib ta’lim al-atfal lil qiraah wal kitabah. 2nd Edition. Amman: Dar al-Safa’.   
Smith, W. 2003. Learning about music, Early Childhood Australia, Watson, ACT.
Tarmizi Ahmad. 1997. Pengajaran dan pembelajaran kemahiran bertutur bahasa Arab : Satu kajian kes di sekolah menengah kebangsaan agama. Tesis Sarjana yang tidak diterbitkan : Universiti Malaya.
Tengku Zawawi Tengku Zainal, Ramle Mustapha & Abdul Razak Habib. 2009. Pengetahuan pedagogi isi kandungan guru matematik bagi tajuk pecahan. Jurnal Pendidikan Malaysia 34(1):131-153.
Toha Yahya Omar. 2002. Haramkah muzik, menyanyi dan menari. Terj. Abd Rahman Rukaini. Selangor :  Synergymate Sdn Bhd.
Zamri Mahamod, Mohamad Amin Embi & Nik Mohd Rahimi Nik Yusoff.  2010. Strategi pembelajaran bahasa Melayu dan Inggeris pelajar cemerlang. Bandar Baru Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
______________  Partnership for 21st Century Skill 2010. http://www.21stcenturyskills.org/index.php?option=com_content&task=view&id=254&Itemid=120 [9 April 2011].



[1] Al-Khatib, Al-Jami’ al-Sahih, no. 5590.
[2] Hallak, al-Fath al-Rabbani, no. 5237.
[3] Al-Khatib, Al-Jami’ al-Sahih  no. 5147.
[4] Al-Albani, Sahih Sunan al-Nasa’ei, no. 3383.

No comments:

Post a Comment